
PETALING JAYA, 28 November – Sebanyak RM1.5 juta dana kos tambahan diperlukan untuk membawa semula perlumbaan berbasikal berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) ke Pulau Langkawi pada edisi tahun hadapan.
- Kementerian berhasrat memasukkan Langkawi semula dalam laluan LTdL, termasuk sebagai kemungkinan peringkat terakhir.
- Hasrat itu bergantung pada kecukupan dana dan faktor berkaitan yang lain.
- Usaha mendapatkan penaja utama telah dimulakan dan akan dipergiatkan mulai Disember.
- Laluan edisi akan datang belum dimuktamadkan, namun persiapan dijanjikan lebih rapi, tersusun dan meriah.
Jelas Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohamed Taufiq Johari, anggaran kos tambahan itu diperlukan semata-mata untuk membawa saingan perlumbaan masuk ke pulau peranginan berkenaan.
Menurut beliau, pihak kementerian sememangnya berhasrat menjadikan Pulau Langkawi kembali sebagai sebahagian daripada laluan LTdL termasuk kemungkinan sebagai peringkat (stage) terakhir, sejajar dengan nama perlumbaan tersebut.
“Jadi kalau tahun hadapan kita ada dana yang cukup, sudah pasti kita ingin masuk ke Langkawi sesuai dengan namanya iaitu Le Tour de Langkawi,”
“Tapi tetap melihat pada faktor kewangan dan juga hal-hal yang berkaitan yang lain.” katanya ditemui selepas Majlis Apresiasi Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026, di sini, pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau berkata gerak kerja untuk mendapatkan penaja utama bagi edisi akan datang telah dimulakan dan akan dipergiatkan bermula Disember ini bagi memastikan persiapan lebih teratur.
Jelasnya, perbincangan sedang dijalankan bersama beberapa pihak swasta dan korporat lain, bagaimanapun pengumuman rasmi hanya akan dibuat setelah keputusan muktamad dicapai.
Dalam perkembangan sama, Taufiq memberitahu bahawa laluan perlumbaan bagi tahun hadapan masih belum dimuktamadkan memandangkan saingan musim ini baru sahaja selesai.
Beliau turut memberi jaminan bahawa persiapan untuk edisi akan datang akan dilaksanakan dengan lebih rapi, tersusun dan meriah berbanding tahun ini.