
KUALA LUMPUR, 28 November –Radio Televisyen Malaysia (RTM) merangkul empat pengiktirafan pada Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MPRA) 2026.
- Datuk Ashwad Ismail menerima Anugerah Kepimpinan PRCA Malaysia 2026 sebagai pengiktirafan terhadap bakat warga RTM.
- Mohan Chinnasamy meraih emas bagi kategori Tanggungjawab Sosial menerusi dokumentari WCE: Merentasi Pantai Barat.
- Laporan khas Eksklusif: Kilang Kitar Semula Guna Bahan Jijik memenangi emas, manakala Haryati Hani Ab Aziz meraih perak.
Antara pengiktirafan yang diterima ialah Anugerah Kepimpinan PRCA Malaysia 2026 yang dianugerahkan kepada Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail.
Tiga lagi pengiktirafan diraih warga RTM menerusi kategori media, merangkumi dua anugerah emas dan satu perak.
Datuk Ashwad menyifatkan pencapaian itu sebagai pengiktirafan terhadap kualiti bakat warga RTM.
“Paling penting ialah memastikan setiap sentuhan, hasil karya, produk dan perkhidmatan yang kita berikan sentiasa berada pada tahap terbaik, demi berkhidmat serta mencurahkan sepenuh tenaga kepada masyarakat,” kata Datuk Ashwad kepada pemberita, selepas Majlis Anugerah Perhubungan Awam Malaysia 2026 di ibu negara.
Bagi Mohan Chinnasamy, kejayaan merangkul emas bagi kategori Tanggungjawab Sosial (Penyiaran) menerusi dokumentari WCE: Merentasi Pantai Barat disifatkan sebagai dorongan untuk terus menghasilkan karya berkualiti.
“Itu merupakan episod Panorama pertama saya ketika mula-mula bertugas di UMD. Tidak sangka, episod berkenaan berjaya memenangi anugerah. Kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk saya terus menghasilkan karya yang berkualiti dan meraih lebih banyak pengiktirafan pada masa akan datang. Anugerah ini bukan untuk saya seorang, sebaliknya untuk UMD dan juga RTM,” katanya.
Sementara itu, anugerah emas turut diraih bagi kategori Liputan Isu dan Krisis (Penyiaran) menerusi laporan khas Eksklusif: Kilang Kitar Semula Guna Bahan Jijik.
Haryati Hani Ab Aziz pula menerima anugerah perak bagi kategori Liputan Gaya Hidup (Dalam Talian).