
HYDERABAD, 27 November – Seramai 72 rakyat Malaysia antara lebih 160 warga asing yang diselamatkan oleh polis India selepas menumpaskan sindiket jenayah siber antarabangsa berhampiran New Delhi pada Khamis.
- Sindiket dipercayai terlibat dalam pemerdagangan manusia, pengurungan haram dan eksploitasi warga asing.
- Polis menyerbu pusat panggilan di Noida dan merampas ratusan telefon, komputer serta pasport.
- Mangsa diperdaya ke India dengan tawaran gaji lumayan, manakala seorang rakyat Malaysia ditahan sebagai suspek utama.
Sindiket itu dipercayai terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia, pengurungan haram dan eksploitasi warga asing.
Pesuruhjaya Bersama Polis (Cawangan Jenayah) Surender Kumar berkata polis bertindak susulan maklumat yang diterima daripada seorang rakyat Malaysia.
“Seorang rakyat Malaysia menyalurkan maklumat kepada Polis Delhi menerusi e-mel. Selepas itu, kami menerima satu lagi e-mel. Kami menghubungi rakyat Malaysia berkenaan dan mendapatkan butiran lanjut untuk pengesahan,” katanya kepada media.
Serbuan itu berjaya membebaskan 92 warga Indonesia dan 72 rakyat Malaysia dari premis yang digunakan sindiket jenayah siber berkenaan di Sector 136, bandar Noida, sebuah hab teknologi maklumat dan perniagaan yang bersempadan dengan Delhi.
Antara barangan dan dokumen yang dirampas dari pusat panggilan itu ialah 355 telefon bimbit, 168 komputer meja, 26 komputer riba, 53 kad SIM, 79 pasport Malaysia dan 95 pasport Indonesia serta peranti elektronik lain, katanya.
Kebanyakan individu yang diselamatkan berusia antara 19 hingga 22 tahun dan telah diperdaya untuk datang ke India dengan janji gaji yang lumayan serta prospek kerjaya yang cerah.
Sindiket itu dipercayai menggunakan identiti wanita dan profil dalam talian palsu untuk menyasarkan bakal mangsa serta memperdaya mereka supaya melaburkan wang dalam skim penipuan.
Seorang rakyat Malaysia berusia 25 tahun ditahan sebagai antara suspek utama dalam kes itu.
Dua anggota tempatan sindiket berkenaan yang dikenal pasti oleh polis sebagai Sunil Kumar dan Sushil Bhati masih bebas. – BERNAMA