
KUALA LUMPUR, 27 November – Kejohanan BSP Grand Prix Muaythai 2026 berpotensi menjadi platform penting mencungkil bakat baharu serta melahirkan lebih ramai atlet muda yang mampu mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
- Kejohanan membuka ruang kepada atlet tempatan menimba pendedahan dan pengalaman melalui pertandingan kompetitif.
- Penganjur mahu mengekalkan perkembangan positif Muay Thai serta menyediakan platform untuk melahirkan atlet generasi baharu.
- Kelab swasta memainkan peranan penting memperluas pembangunan sukan dan membuka laluan atlet muda ke peringkat lebih tinggi.
Kejohananan yang menghimpunkan 288 atlet, selama dua hari bermula esok (28 November), bukan sekadar medan persaingan,sebaliknya membuka ruang kepada atlet tempatan mendapatkan pendedahan dan pengalaman menerusi pertandingan kompetitif.
Lebih menarik, kejohanan anjuran BSP Muaythai Studio dengan kerjasama Hallo Fight Lab itu turut membawa ikon MuayThai dunia, Rodtang Jitmuangnon ke Malaysia sebagai tarikan utama.
Berlangsung di Hextar World @ Empire City Hall, kejohanan itu menyaksikan penyertaan seramai 260 atlet amatur dan 28 atlet profesional, selain menampilkan 14 perlawanan profesional.
Ketua Pegawai Eksekutif BSP Muaythai Studio, Uwais Abdullah berkata, penganjuran kejohanan itu antara usaha pihaknya untuk mengekalkan momentum perkembangan sukan Muay Thai, selain menyediakan platform kepada kemunculan atlet generasi baharu.
“Matlamat kami adalah untuk mengekalkan momentum sukan Muay Thai yang ketika ini menunjukkan perkembangan positif.
“Jadi, bagi memastikan momentum itu berterusan dan melahirkan atlet-atlet baharu, kami menyediakan platform menerusi penganjuran pertandingan seperti ini,” katanya dalam satu sidang media perasmian kejohanan BSP Grand Prix Muaythai 2026 di Damansara.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung Persatuan Muaythai Malaysia, Saifulnizam Mohd Shahar menyifatkan, inisiatif penganjuran oleh kelab-kelab swasta sebagai satu sumbangan penting dalam memperluas pembangunan sukan berkenaan di negara ini.
“Ini adalah salah satu inisiatif menggalakkan sukan Muay Thai. Misi untuk membangunkan sukan ini bukan hanya terletak di bahu persatuan negeri atau kebangsaan. Jadi, kami amat berbesar hati dan mengalu-alukan inisiatif swasta seperti ini untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan” Jelasnya.
Dalam pada itu, kehadiran Rodtang dijangka menjadi antara tarikan utama kejohanan, khususnya menerusi sesi Meet and Greet yang memberi peluang kepada peminat bertemu secara dekat dengan bintang antarabangsa itu.
Penganjuran kejohanan seumpama ini diharap dapat memperkukuh ekosistem Muay Thai negara, sekali gus membuka lebih banyak laluan kepada atlet muda untuk mengembangkan bakat dan melangkah ke peringkat lebih tinggi.