
KUALA LUMPUR, 27 November – UDA Holdings Berhad menyasarkan peningkatan 30 peratus dalam penawaran rumah mampu milik pada 2027, seiring jangkaan peningkatan kemampuan pembeli susulan pelbagai inisiatif yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027.
- Inisiatif Belanjawan 2027 dan SJKP dijangka membantu pembeli, termasuk golongan tanpa pendapatan tetap, mendapatkan pembiayaan rumah mampu milik.
- UDA menyasarkan pemilikan hartanah Bumiputera meningkat kepada 60 peratus menjelang 2027, berbanding 50 peratus tahun ini.
- Skim sewa untuk milik dan pembayaran wang cagaran secara berperingkat diperkenalkan bagi memudahkan pemilikan hartanah.
Ketua Bahagian Pemasaran dan Jualan Hartanah Kumpulan UDA Holdings Berhad, Noorhasniza Kassim berkata, sasaran itu turut mengambil kira permintaan berterusan terhadap hartanah dalam segmen harga sederhana, khususnya kediaman berharga antara RM200,000 hingga RM500,000.
“Produk hartanah UDA merangkumi pelbagai kategori dan segmen harga. Apa yang kami lihat, inisiatif Belanjawan 2027 dapat membantu produk-produk kami, bukan sahaja di wilayah tengah, malah di wilayah utara, khususnya kediaman berharga sekitar RM300,000.
“Selain itu, kemudahan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) juga boleh membantu golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap mendapatkan pembiayaan untuk memiliki rumah mampu milik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Cabutan Bertuah Kempen Bonanza Memenuhi Impian 2026, di sini.
Mengulas mengenai agenda pemilikan hartanah Bumiputera, Noorhasniza berkata, UDA turut menyasarkan peningkatan kadar pemilikan hartanah Bumiputera kepada 60 peratus menjelang 2027 berbanding 50 peratus tahun ini.
Pencapaian sasaran itu bergantung kepada pelaksanaan projek pembangunan UDA yang merangkumi beberapa wilayah di seluruh negara.
“Antara pendekatan yang diperkenalkan ialah skim sewa untuk milik, khususnya bagi membantu usahawan mendapatkan premis perniagaan sebelum beralih kepada pemilikan.
“Memandangkan produk kami merangkumi hartanah kediaman dan komersial, usahawan boleh menyewa premis komersial milik UDA terlebih dahulu.
“Dalam tempoh dua tahun, sekiranya mereka melihat potensi perniagaan dan nilai komersial premis tersebut, mereka boleh beralih daripada penyewaan kepada pemilikan,” jelasnya.
Tambah beliau, UDA juga akan terus membantu golongan berpendapatan sederhana menerusi kemudahan pembayaran wang cagaran secara berperingkat bagi memudahkan proses pembelian hartanah.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan jaminan pembiayaan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) berjumlah RM20 bilion yang dijangka memberi manfaat kepada 80,000 pembeli rumah pertama.