Dua cedera, relau pembakaran minyak mentah terpakai meletup

Punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian sedang disiasat

KEMAMAN, 27 November – Dua pekerja kilang memproses sisa minyak mentah cedera, selepas terbabit dalam kebakaran kilang berkenaan di Kawasan Perindustrian Bio Polimer Kerteh, di sini, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Letupan relau pembakaran minyak mentah terpakai dipercayai mencetuskan kebakaran ketika proses pembakaran bermula.
  • Dua pekerja cedera terkena serpihan kaca dan dihantar ke Klinik Kesihatan Paka; keadaan mereka stabil.
  • Kebakaran berjaya dikawal pada 10.57 malam, manakala punca kejadian dan anggaran kerugian masih disiasat.

Bagaimanapun, 13 lagi pekerja sempat menyelamatkan diri dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9 malam.

Kebakaran dipercayai bermula selepas sebuah relau pembakaran mengandungi kira-kira 10,000 kilogram minyak mentah terpakai meletup secara tiba-tiba ketika proses pembakaran bermula.

Letupan kuat itu menyebabkan dua pekerja yang berada dalam sebuah kabin terkena serpihan kaca, cedera.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM)Terengganu, Penguasa Kanan Bomba I, Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata, operasi pemadaman melibatkan kekuatan 46 pegawai serta anggota dan sembilan jentera dari empat balai bomba.

“Operasi pemadaman dilaksanakan menggunakan sumber air daripada pili bomba dan jentera tangki air menerusi empat aliran hos sepanjang 400 kaki dengan bantuan semburan air bercampur buih pemadam api.

“Kebakaran berjaya dikawal kira-kira pukul 10.57 minit malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 3.30 pagi,”katanya.

Dua pekerja kilang yang cedera dihantar ke Klinik Kesihatan Paka, Dungun untuk mendapatkan rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Punca sebenar insiden serta anggaran kerugian sedang disiasat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.