
KULAI, 27 November – Kementerian Komunikasi sentiasa memastikan penerima Dana Kandungan Kreatif (DKK), khususnya penerbit filem dan telefilem mematuhi syarat ditetapkan bagi memastikan karya yang dihasilkan tidak bercanggah dengan dasar dan ketetapan kerajaan.
- Panel FINAS meneliti skrip pemohon bagi memastikan kandungannya bersesuaian dengan dasar dan hala tuju kerajaan.
- Pemantauan turut mengawal penghasilan filem dan telefilem, termasuk karya yang mempunyai unsur buli.
- RM15 juta diperuntukkan menerusi Dana Kandungan Kreatif di bawah FINAS untuk memperkukuh industri kreatif negara.
- Permohonan dibuka kepada enam kategori melalui Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif mulai 16 November.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pemantauan itu antara langkah mengawal penghasilan filem dan telefilem, termasuk karya yang mempunyai unsur buli.
“Jika ingin memohon dana seperti dana FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia), terdapat panel yang akan meneliti skrip bagi memastikan semua elemen di dalamnya bersesuaian serta tidak bercanggah dengan dasar atau hala tuju kerajaan,” katanya.
Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Aspirasi MADANI dan Apresiasi Tahun Enam di Sekolah Kebangsaan Murni Jaya, Layang-Layang, di sini.
Sebanyak RM15 juta diperuntukkan menerusi DKK di bawah FINAS bagi memperkukuh industri kreatif negara.
Permohonan dibuka kepada enam kategori dan boleh dikemukakan menerusi Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) mulai 16 November lalu.