380 usahawan terima manfaat Skim Usahawan Bangkit

Penerima Skim Usahawan Bangkit yang ditemui pemberita pada Program Sejati MADANI@Usahawan B40 di Kuala Terengganu / Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 26 November – Seramai 380 usahawan mikro, penjaja dan peniaga kecil di Terengganu menerima manfaat Skim Usahawan Bangkit melibatkan peruntukan lebih RM1 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sektor makanan dan minuman mencatat penerima tertinggi, diikuti sektor perkhidmatan, bengkel dan jahitan.
  • Sehingga 23 November, 5,101 daripada 12,499 permohonan skim diluluskan dengan peruntukan RM14.99 juta.
  • Peruntukan geran skim ditingkatkan kepada RM200 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi memperluas manfaat kepada usahawan B40 dan peniaga kecil.

Menerusi Program Sejati MADANI@Usahawan B40, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM1,044,750 kepada semua penerima di negeri itu.

Daripada jumlah tersebut, sektor makanan dan minuman mencatat penerima tertinggi dengan 297 usahawan, diikuti sektor perkhidmatan (37), bengkel (27) serta jahitan (19).

Antara penerima ialah pengusaha bengkel motosikal, Muhammad Shukri Salleh yang menerima bantuan RM3,400 bagi pembelian pemampat udara dan mesin penekan.

Sementara itu, pengusaha kedai makan, Raidawati Yasin @ Ismail menerima RM4,000 bagi pembelian kaunter minuman dua tingkat serta mesin soya.

“Terima kasih kepada kerajaan atas bantuan modal bagi membantu saya berniaga dan saya berharap bantuan ini diteruskan pada masa hadapan kerana sekurang-kurangnya dapat membantu lebih ramai usahawan lain,” kata Muhammad Shukri ketika ditemui pemberita di sini.

Sementara itu, Raidawati turut menzahirkan penghargaan atas inisiatif tersebut yang disifatkan mampu meringankan beban modal perniagaannya.

“Pertama kali saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan MADANI. Sekurang-kurangnya dengan adanya bantuan ini, ia dapat menambah rezeki untuk saya terus mengembangkan perniagaan,” ujarnya.

Majlis penyampaian berkenaan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort, di sini.

Di peringkat nasional, sebanyak 5,101 daripada 12,499 permohonan skim berkenaan telah diluluskan sehingga 23 November lalu, melibatkan peruntukan RM14.99 juta.

Kerajaan turut meningkatkan peruntukan geran skim itu kepada RM200 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi memperluas manfaat kepada usahawan B40 dan peniaga kecil di seluruh negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.