
KUANTAN, 26 November – Penyediaan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri Pahang bagi memastikan penduduk di kawasan bandar dan luar bandar mendapat akses rawatan berkualiti.
- Pasukan perubatan dan pergigian bergerak membantu mengatasi cabaran geografi serta memperluas rawatan kepada masyarakat pedalaman dan Orang Asli.
- Pelan Induk Fasiliti Kesihatan Negeri Pahang 2024-2045 menyokong peningkatan akses kepada fasiliti kesihatan moden.
- Peruntukan RM57.63 juta digunakan untuk menaik taraf 139 klinik dan fasiliti kesihatan daif di seluruh Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Razali Kassim berkata, negeri itu kini mempunyai 12 hospital, 95 klinik kesihatan, 230 klinik desa, tiga klinik kesihatan ibu dan anak berasingan, sembilan klinik komuniti, 77 klinik pergigian serta empat unit dialisis komuniti.
Bagi mengatasi cabaran geografi di kawasan pedalaman, khususnya melibatkan masyarakat Orang Asli, sebanyak sembilan pasukan perubatan bergerak disediakan, selain 46 pasukan pergigian bergerak ke sekolah dan empat klinik pergigian bergerak yang beroperasi mengikut zon strategik.
Selain itu, kerajaan negeri turut meningkatkan kebolehcapaian terhadap fasiliti kesihatan moden melalui Pelan Induk Fasiliti Kesihatan Negeri Pahang 2024-2045 yang dibangunkan bersama Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurutnya, Klinik Kesihatan Sungai Soi, Kuantan yang merupakan fasiliti baharu telah mula beroperasi tahun ini, manakala Klinik Kesihatan Bukit Ibam di Rompin kini dalam proses penyerahan kepada KKM.
“Negeri Pahang juga telah menerima kelulusan bagi pelaksanaan tiga projek klinik kesihatan baharu iaitu Klinik Kesihatan Kuala Krau di Temerloh yang kini dalam proses pembinaan, Klinik Kesihatan Kuala Tahan di Jerantut pada peringkat reka bentuk, serta Klinik Kesihatan Pos Lenjang di Lipis yang berada di peringkat pengesahan skop projek dan brif,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM57.63 juta bagi pelaksanaan projek menaik taraf klinik serta fasiliti daif di Pahang sepanjang 2023 hingga 2025, sekali gus memberi manfaat kepada 139 fasiliti merangkumi 76 klinik kesihatan dan 63 klinik desa.
Sementara itu, Klinik Kesihatan Kuala Triang yang siap pada tahun lalu kini beroperasi bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada kira-kira 4,500 penduduk di kawasan sekitarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Mohd Sharim Md Zain pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini.