
SEREMBAN, 26 November- Kemelut politik Negeri Sembilan dijangka menemui penyelesaian dalam masa terdekat selepas beberapa pemimpin tertinggi UMNO menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, hari ini.
- UMNO menyerahkan kepada Istana Negeri Sembilan untuk mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusan yang dipersetujui.
- Kenyataan Istana akan memuktamadkan keputusan bersama.
- Sesi menghadap turut disertai pemimpin kanan UMNO dan Barisan Nasional.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya menyerahkan kepada Istana Negeri Sembilan untuk mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keputusan yang telah dipersetujui bersama.
“Biarlah kenyataan daripada istana itu sebagai memuktamadkan keputusan yang telah dipersetujui,” katanya kepada pemberita yang menunggu di perkarangan luar kawasan Istana Hinggap.
Turut hadir dalam sesi menghadap, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.