
CYBERJAYA, 25 November – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan dua tindakan undang-undang terhadap Google LLC dengan tuntutan ganti rugi berjumlah RM600 juta berhubung dakwaan kegagalan syarikat itu menangani penyebaran kandungan dalam talian berbahaya menerusi platform YouTube.
- MCMC mendakwa Google gagal mematuhi kewajipan undang-undang dan syarat pelesenan berkaitan pengendalian kandungan di YouTube.
- Tuntutan ganti rugi bertujuan menampung sumber yang digunakan untuk menangani lebih 50,000 kandungan memudaratkan serta mencegah ketidakpatuhan berulang.
- Daripada 74,703 laporan kepada YouTube, 99.8 peratus berkaitan perjudian dalam talian; ribuan laporan lewat ditangani atau tidak menerima maklum balas.
- Saman kedua melibatkan dakwaan kegagalan menangani penyiaran semula kandungan menyalahi undang-undang oleh Papagomo, yang tertakluk kepada injunksi interim.
Menurut MCMC dalam satu kenyataan, kedua-dua saman berkenaan membabitkan isu berasingan, khususnya dakwaan ketidakpatuhan Google terhadap kewajipan undang-undang serta syarat pelesenan yang ditetapkan.
Menerusi setiap saman, MCMC menuntut ganti rugi sebanyak RM300 juta masing-masing RM100 juta bagi ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.
“Tuntutan ganti rugi ini bertujuan mendapatkan pampasan atas penggunaan sumber dan tenaga kerja yang besar dalam menangani lebih daripada 50,000 kandungan dalam talian yang memudaratkan susulan kegagalan sistemik Google, di samping menyokong usaha mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat,” menurut kenyataan itu.
Ia turut mengambil kira sifat dan kesan pelanggaran yang didakwa serta keperluan untuk memastikan Google dipertanggungjawabkan dan mencegah ketidakpatuhan yang sama daripada berulang.
MCMC memaklumkan sebanyak 74,703 laporan telah dikemukakan kepada YouTube bagi tempoh 1 Januari hingga 28 Oktober lalu, dengan 74,569 laporan atau 99.8 peratus daripadanya membabitkan kandungan berkaitan perjudian dalam talian.
Daripada jumlah itu, sebanyak 32,781 menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan dalam tempoh 24 jam, manakala 4,950 laporan lagi tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak platform berkenaan.
“Sebanyak 35 laporan pula mengambil masa lebih daripada 90 hari untuk menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan, manakala 1,468 laporan mengambil masa lebih daripada 30 hari dari tarikh laporan dikemukakan.
“Angka ini menunjukkan skala penyebaran kandungan yang memudaratkan di platform tersebut serta kelewatan dalam menangani kandungan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, saman kedua membabitkan dakwaan kegagalan Google mengambil tindakan sewajarnya, berhubung penyiaran semula kandungan yang menyalahi undang-undang di YouTube oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo.
MCMC memaklumkan kandungan berkenaan kini tertakluk kepada injunksi interim yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun 2026.
Dalam pada itu, MCMC menegaskan semua penyedia platform media sosial yang tertakluk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 wajib mematuhi setiap peruntukan undang-undang dan syarat lesen yang ditetapkan.