
KUALA LUMPUR, 24 November – Hari ini genap empat tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri dan menerajui Kerajaan MADANI.
- Kerajaan memperkemas kewangan negara, menambah baik tatakelola, melaksanakan reformasi institusi dan memperkukuh kebajikan rakyat.
- Kemajuan sebenar perlu membawa kehidupan keluarga lebih baik, jaminan rezeki dan masa depan anak-anak yang lebih terpelihara.
- Anwar berikrar terus berusaha demi rakyat dan negara, serta memastikan nasib rakyat dibela dan martabat negara diangkat.
Menerusi hantaran di Facebooknya, beliau berkata tempoh empat tahun itu menyaksikan pelbagai cabaran perlu dihadapi negara, termasuk tekanan ekonomi, kedudukan kewangan negara yang terbatas serta peningkatan kos sara hidup rakyat.
Menurut beliau, kelemahan tatakelola dan amalan rasuah yang telah lama berakar turut menuntut keberanian untuk melakukan perubahan.
“Sejak hari pertama menerajui pentadbiran negara, matlamat utama adalah memulihkan kedudukan negara dan memperbaiki kehidupan rakyat.
“Beberapa usaha telah digerakkan sepanjang tempoh berkenaan termasuk memperkemas kedudukan kewangan negara, menambah baik tatakelola, melaksanakan reformasi institusi serta memperkukuh kebajikan rakyat.
Bagaimanapun, Perdana Menteri juga mengakui perjalanan untuk memastikan kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat masih jauh serta memerlukan usaha berterusan.
“Ukuran sebenar kemajuan negara bukan sekadar pencapaian ekonomi, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi kehidupan keluarga yang lebih baik, jaminan rezeki serta masa depan anak-anak yang lebih terpelihara,” tegas Datuk Seri Anwar lagi.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada rakyat atas kesabaran, teguran, doa dan kepercayaan yang diberikan sepanjang empat tahun pentadbirannya.
“Saya akan terus mencurahkan segala usaha demi kepentingan rakyat dan negara selagi diberikan amanah sebagai Perdana Menteri.
“Walaupun kepimpinan negara silih berganti, nasib rakyat perlu terus dibela manakala martabat negara mesti sentiasa diangkat,” tambah beliau.