FELDA Pahang rugi lebih RM2.29 juta akibat 1,733 kes curi sawit

Foto Facebook Amizar Abu Adam

KUANTAN, 24 November – Sebanyak 1,733 kes kecurian buah kelapa sawit direkodkan di seluruh rancangan FELDA di Pahang bagi tempoh 2023 hingga 2026 dengan jumlah kerugian melebihi RM2.29 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kes kecurian meningkat daripada 276 pada 2023 kepada 527 pada 2025, sebelum menurun kepada 470 tahun ini.
  • Wilayah Jengka mencatat kes tertinggi, dengan 1,473 kes dan kerugian melebihi RM1.47 juta.
  • Langkah membanteras kecurian termasuk rondaan ladang, kawalan jalan tikus serta pemeriksaan pembeli dan pusat timbang haram.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata jumlah kes meningkat daripada 276 pada tahun 2023 kepada 460 pada 2024, sebelum memuncak kepada 527 kes pada 2025.

Bagaimanapun jumlah kes kecurian pada tahun ini menurun kepada 470 kes.

“Wilayah Jengka merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 1,473 kes dan kerugian lebih RM1.47 juta. Menyedari masalah itu, pelbagai langkah proaktif dilaksana dengan penglibatan pihak berkaitan termasuk kawalan aset di ‘jalan tikus’.

“Jalan tikus ini kebanyakannya hanya peneroka dan pembawa lori saja yang tahu. Jadi perlu semua yang terlibat untuk bersama berganding bahu membanteras perkara ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Shahril Azman Abd Halim pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima
Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini.

Mengulas lanjut beliau berkata, rondaan keselamatan turut dilaksana di kawasan ladang, selain pemasangan palang kawalan serta pemeriksaan terhadap pusat
timbang dan premis pembelian buah sawit.

“Tumpuan juga diberikan kepada pembeli tanpa lesen dan pusat timbang haram menerusi kerjasama pihak FELDA, polis dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), termasuk semakan lesen serta rekod urus niaga bagi mengesan sumber buah sawit yang dibeli,” ujarnya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.