Pengendali pusat data dinasihat tidak sewakan ruang kepada 7 entiti disenarai AS – MITI

Foto janaan AI

KUALA LUMPUR, 24 November – Semua pengendali pusat data di Malaysia dinasihatkan tidak menyewakan ruang atau menyediakan perkhidmatan kepada tujuh entiti yang disenarai dalam senarai sekatan perdagangan Amerika Syarikat (AS) berhubung kebimbangan berkaitan cip kecerdasan buatan (AI).

RINGKASAN BERITA AI
  • MIDA akan mengeluarkan notis kepada semua pengendali pusat data mengenai penyenaraian tujuh entiti.
  • Hanya Speedmatrix Sdn Bhd dan MSFusion Sdn Bhd daripada tujuh entiti itu merupakan entiti di Malaysia.
  • Malaysia tidak akan membenarkan negara ini digunakan untuk memintas kawalan eksport dan akan mengambil tindakan terhadap pelanggaran undang-undang.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan memaklumkan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan mengeluarkan notis kepada semua pengendali pusat data di negara ini bagi memaklumkan penyenaraian berkenaan.

Menurut MITI, hanya dua daripada entiti terbabit merupakan entiti di Malaysia, iaitu Speedmatrix Sdn Bhd dan MSFusion Sdn Bhd.

“Speedmatrix Sdn. Bhd. merupakan anak syarikat milik penuh Megaspeed International Pte. Ltd. yang diperbadankan di Singapura.

“Berdasarkan rekod MIDA, Megaspeed International Pte. Ltd. bukan entiti yang beroperasi di Malaysia dan bukan pengendali mahupun penyewa pusat data di negara ini,” kata kementerian menerusi satu kenyataan.

Tambah MITI, Malaysia kekal komited untuk mengekalkan persekitaran perdagangan yang selamat, telus dan berasaskan peraturan.

Sehubungan itu, Malaysia tidak akan membenarkan negara ini digunakan sebagai saluran untuk memintas kawalan eksport.

Jelas kementerian itu, tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang berkaitan.

Terdahulu, Biro Industri dan Keselamatan (BIS) di bawah Jabatan Perdagangan AS mengeluarkan peraturan muktamad pada 23 November bagi menambah tujuh entiti dari Malaysia, Singapura dan Thailand ke dalam senarai sekatan perdagangannya yang dikenali sebagai Entity List.

Penambahan itu dibuat susulan kebimbangan bahawa entiti berkenaan berpotensi membantu menyalurkan perkakasan pengkomputeran canggih kepada pengguna yang tidak dibenarkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.