
KUALA LUMPUR , 23 November – Agenda reformasi Ekonomi MADANI yang dilaksana sejak 2023 menunjukkan perkembangan positif dalam memperkukuh struktur ekonomi negara, khususnya menerusi peningkatan pelaburan dan daya saing negara.
- Kejayaan ekonomi makro perlu diterjemah kepada manfaat yang dapat dirasai rakyat.
- Peningkatan gaji minimum dan subsidi bersasar membantu mengurangkan ketirisan perbelanjaan kerajaan.
- Usaha membanteras rasuah serta mengekalkan kestabilan politik penting untuk keyakinan pelabur dan pertumbuhan mampan.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Dr Ida Yasin berkata, kejayaan Malaysia menarik pelaburan melebihi RM400 bilion mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara.
“Peningkatan kedudukan daya saing Malaysia ke tangga ke 15 mencerminkan kemajuan negara, khususnya dari aspek kecekapan perniagaan dan kecekapan kerajaan”.
“Penambahbaikan berterusan ini menjadi antara faktor yang meningkatkan keyakinan pelabur untuk membawa lebih banyak pelaburan ke negara kita,” katanya selepas menjadi tetamu dalam program Biz Malaysia, di Angkasapuri.
Dalam pada itu, beliau berkata, kejayaan di peringkat makro ekonomi perlu diterjemah kepada manfaat yang dapat dirasai rakyat.
Ini termasuk melalui peningkatan gaji minimum dan pelaksanaan subsidi bersasar bagi mengurangkan ketirisan perbelanjaan kerajaan.
Beliau turut menegaskan usaha membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa perlu terus diperkukuh kerana integriti serta kestabilan politik merupakan antara asas penting dalam membina keyakinan pelabur.
Katanya, persekitaran negara yang aman dan stabil juga mampu menyediakan landasan lebih kukuh kepada perkembangan aktiviti perniagaan serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.