KPM sasar sifar ketidakhadiran SPM, giat intervensi awal pelajar

Foto RTM

PUTRAJAYA, 23 November – Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan sifar ketidakhadiran dalam kalangan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan menggiatkan pelbagai langkah intervensi awal.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPM menyasarkan sifar ketidakhadiran calon SPM melalui pelbagai intervensi awal.
  • Trend kehadiran murid dipantau sejak Tingkatan Satu untuk mengenal pasti punca ketidakhadiran dan memberikan bantuan bersesuaian.
  • Program Ziarah Cakna memperkukuh usaha sekolah mendekati keluarga dan menangani kemiskinan yang menghalang pendidikan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, walaupun menyedari sasaran sifar mutlak adalah mencabar berikutan faktor luar jangka seperti kemalangan, isu kesihatan atau kecemasan keluarga, KPM komited untuk melakukan usaha yang terbaik bagi memastikan setiap calon menduduki peperiksaan.

Menurut beliau, antara langkah intervensi tegas yang sedang dilaksanakan KPM termasuklah memantau trend kehadiran murid ke sekolah seawal peringkat menengah rendah lagi.

“Sekarang ini kita sudah mula ambil tindakan dengan meneliti trend kehadiran murid ke sekolah bermula dari Tingkatan Tiga, malah seawal Tingkatan Satu.

“Jika ada trend pelajar yang kerap tidak hadir, kita akan analisis data mereka untuk kenal pasti puncanya. Adakah ia disebabkan oleh masalah kewangan, keluarga atau perlukan motivasi tambahan, dan dari situ kita bantu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan tinjauan hari pertama peperiksaan SPM yang melibatkan 247 calon di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16(1), hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Dr Mohd Azam berkata KPM turut memperkasa program Ziarah Cakna di mana pihak sekolah akan turun padang mendekati keluarga pelajar bagi mencari jalan penyelesaian sekiranya kemiskinan menjadi penghalang utama kelangsungan pendidikan mereka.

“Hasil daripada intervensi berterusan ini, KPM telah berjaya menurunkan angka ketidakhadiran calon SPM secara drastik kepada sekitar 2,000 calon sahaja pada tahun lalu, berbanding belasan ribu kes yang direkodkan pada tahun-tahun sebelumnya,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.