
JAKARTA, 20 November – Kebakaran hutan dan kawasan tanah gambut yang melanda Indonesia sepanjang tahun ini dijangka mengakibatkan kerugian ekonomi melebihi AS$30 bilion, menurut kajian terbaharu sebuah badan penyelidikan ekonomi negara itu.
- Kajian CELIOS anggar kerugian aset dan gangguan ekonomi sebanyak 340 trilion rupiah (AS$18.6 bilion).
- Kos kesihatan akibat jangkitan pernafasan dianggarkan 225 trilion rupiah (AS$12.3 bilion).
- Kebakaran memusnahkan kira-kira 2.88 juta hektar, bersamaan 7.1 juta ekar atau 18 kali keluasan London.
- Fenomena El Nino, perubahan iklim, penyahhutanan dan pengeringan tanah gambut memburukkan musim kebakaran.
Kajian Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-undang (CELIOS) yang berpangkalan di Jakarta menganggarkan kerugian akibat kemusnahan aset fizikal serta gangguan aktiviti ekonomi mencecah 340 trilion rupiah (AS$18.6 bilion).
Jumlah itu bersamaan kira-kira 2.69 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia.
Laporan berkenaan turut menganggarkan kos tambahan berkaitan kesihatan akibat jangkitan pernafasan akut yang berpunca daripada kebakaran hutan di pulau Borneo, Sumatera dan Papua boleh mencecah 225 trilion rupiah (AS$12.3 bilion).
“Selain itu, terdapat juga kos ekonomi yang ditanggung masyarakat, baik secara langsung mahupun tidak langsung,” kata Pengarah CELIOS, Nailul Huda yang juga penulis bersama laporan itu kepada AFP.
Menurut pemantau penyahhutanan Nusantara Atlas, kebakaran hutan di Indonesia setakat ini memusnahkan kira-kira 2.88 juta hektar kawasan, bersamaan 7.1 juta ekar atau kira-kira 18 kali keluasan London.
Walaupun Indonesia berdepan kebakaran hutan setiap musim kemarau, kebakaran tahun ini disifatkan jauh lebih buruk berbanding kebiasaan.
Penyelidik yang menjalankan kajian minggu lalu berkata, fenomena cuaca El Nino yang kuat, perubahan iklim, penyahhutanan serta aktiviti pengeringan kawasan tanah gambut bagi tujuan perlombongan dan pembangunan ladang telah memburukkan lagi musim kebakaran tahun ini.
Kebakaran itu turut menghasilkan jerebu tebal yang menjejaskan kesihatan ratusan ribu penduduk Indonesia, selain merebak hingga ke Malaysia dan Singapura. -AFP