
KUALA LUMPUR, 20 November – Prestasi hambar pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao pada Terbuka Hong Kong menimbulkan persoalan mengenai kemampuannya untuk mencapai tahap lebih tinggi selepas gagal memberikan saingan kepada pemain muda China, Dong Tian Yao.
- Jun Hao menunjukkan prestasi di bawah jangkaan barisan kejurulatihan dan dirinya sendiri.
- Corak prestasi tidak konsisten sejak dua tahun menimbulkan persoalan sama ada beliau sudah mencapai had potensinya.
- Jonassen: tahap fizikal perlu ditingkatkan dua hingga tiga peringkat; memerlukan komitmen dan gaya hidup lebih disiplin.
- Kempen musim ini dianggap selesai; Jun Hao diberi masa rehat, penilaian jurulatih akan dibuat dalam dua hingga tiga minggu.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenneth Jonassen berkata, kekalahan 12-21, 13-21 itu jauh daripada jangkaan barisan kejurulatihan, terutama selepas Jun Hao mendapat undian yang dianggap lebih baik.
“Prestasinya berada di bawah tahap sepatutnya. Ia tidak memenuhi jangkaan barisan kejurulatihan, saya sendiri mahupun jangkaan dirinya. Perkara itu amat mengecewakan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Lebih membimbangkan, Jonassen berkata corak prestasi tidak konsisten itu berulang sejak dua tahun lalu sehingga menimbulkan persoalan sama ada pemain berusia 27 tahun berkenaan sudah mencapai had potensinya.
Bagaimanapun, beliau mengakui Jun Hao memiliki kemahiran dan keupayaan untuk memberikan saingan ketika berada pada prestasi terbaik, namun tahap fizikal pemain itu perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya dua atau tiga tahap lagi.
Jonassen menegaskan, peningkatan tersebut memerlukan komitmen tinggi daripada pemain itu sendiri, termasuk kesungguhan menjalani latihan dan mengamalkan gaya hidup yang betul.
“Jika tahap fizikalnya tidak meningkat sekurang-kurangnya dua atau tiga tahap, dia tidak mempunyai peluang untuk bersaing pada tahap ini.
“Kami boleh menyediakan program latihan, tetapi pemain itu sendiri perlu memaksa diri bekerja lebih keras serta mengamalkan gaya hidup yang betul bagi meningkatkan dan mengekalkan tahap fizikal yang diperlukan,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Jun Hao sudah mengetahui pandangan serta kebimbangan barisan kejurulatihan berhubung prestasinya menerusi beberapa perbincangan sebelum ini.
Mengulas mengenai hala tuju pemain kelahiran Kuala Lumpur itu, Jonassen mengesahkan kempen Jun Hao bagi musim ini sudah berakhir dan pemain itu akan diberikan ruang untuk berehat sebelum kedua-dua pihak mengadakan perbincangan mengenai komitmen serta hala tuju kariernya.
Barisan kejurulatihan pula akan menjalankan penilaian lebih terperinci dalam tempoh dua hingga tiga minggu sebelum mengemukakan pendirian kepada pengurusan tertinggi BAM.