Sikap waspada benteng utama lindungi data peribadi

Foto hiasan janaan AI/ RTM

KUALA LUMPUR, 20 November – Tahap keselamatan data peribadi bukan sahaja bergantung kepada kecanggihan sistem perlindungan digital, malah turut ditentukan oleh sikap dan tahap kewaspadaan pengguna ketika mengendalikan peranti masing-masing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lindungi peranti: pasang perlindungan, elak klik pautan atau muat turun fail mencurigakan.
  • Amalkan berhenti, fikir dan semak sebelum bertindak; sahkan panggilan atau mesej yang meragukan.
  • Jika jadi mangsa penipuan dan membuat pindahan wang, segera hubungi NSRC atau MyCERT untuk bantuan menyekat transaksi.

Pengarah Institut Informatik dan Pengkomputeran Tenaga (IICE), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Prof. Ts. Dr. Salman Yussof berkata, penjenayah siber lazimnya mencari kelemahan atau ruang untuk menceroboh sistem, sama seperti modus operandi penjenayah pecah rumah.

Menurutnya, pengguna perlu memastikan peranti digital dilindungi dengan baik serta mengelakkan tindakan yang boleh membuka ruang kepada kecurian data, termasuk menekan pautan atau memuat turun dokumen mencurigakan.

“Jika pintu rumah dikunci dengan baik, sukar untuk penjenayah masuk. Begitu juga dalam dunia siber, sekiranya pengguna menjaga peranti dengan baik serta tidak menekan pautan atau dokumen yang mencurigakan, data peribadi sukar dicuri pihak luar,” katanya kepada pemberita RTM selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Wisma Berita, Angkasapuri Kota Media, hari ini.

Pengarah Institut Informatik dan Pengkomputeran Tenaga, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Prof. Ts. Dr. Salman Yussof/ RTM

Mengulas lanjut, beliau menasihatkan orang ramai, khususnya golongan kurang mahir dalam teknologi maklumat (IT), supaya mengamalkan pendekatan ‘berhenti, fikir dan semak’ sebelum bertindak terhadap sebarang panggilan atau mesej yang meragukan.

Katanya, pengguna perlu bertenang dan membuat pengesahan dengan agensi berkaitan sekiranya menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai kerajaan atau agensi tertentu, terutama apabila diminta membuat pembayaran atau transaksi kewangan.

Dalam pada itu, beliau menggesa mangsa penipuan dalam talian yang telah membuat pindahan wang supaya segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) atau Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) bagi mendapatkan bantuan.

“Agensi seperti NSRC mempunyai jaringan terus dengan institusi perbankan, sekali gus membolehkan tindakan menyekat transaksi kewangan mangsa dilakukan dengan lebih pantas,” katanya.

Selain keselamatan data individu, beliau turut menekankan kepentingan tahap kepekaan dan sistem perlindungan yang kukuh bagi memastikan peranti pintar di kediaman serta infrastruktur kritikal negara tidak terdedah kepada ancaman penggodaman.

Menyentuh penggunaan kecerdasan buatan (AI), Salman berkata teknologi itu secara umumnya selamat digunakan dalam tugasan harian dan tidak secara langsung mendedahkan pengguna kepada risiko penggodaman, meskipun teknologi berkenaan turut berpotensi disalahgunakan penjenayah siber.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat peribadi secara terbuka di media sosial serta mengelakkan daripada memuat turun aplikasi daripada sumber tidak sah bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa jenayah siber.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.