
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad
KUALA LUMPUR, 18 November – Tiga projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Lembah Sungai Langat, dengan nilai keseluruhan RM1.23 bilion, sedang giat dilaksanakan sebagai usaha jangka panjang untuk mengurangkan risiko banjir secara menyeluruh dan mampan.
- Jadual pelaksanaan: Fasa 1 dijangka siap Mei 2027; Fasa 2 Pakej 1 ke perolehan 2027; Pakej 2 Sepang dijangka siap April 2031.
- Projek dirancang mengurangkan risiko banjir secara menyeluruh di lembangan termasuk kawasan hilir seperti Daerah Kuala Langat.
- PETRA dan JPS akan menilai keberkesanan selepas siap; kerjasama PBT serta penyelenggaraan saliran dan longkang perlu diberi perhatian.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, projek berimpak tinggi itu merangkumi RTB Sungai Langat Fasa 1 yang dijangka siap pada Mei 2027.
Sementara itu, Fasa 2 Pakej 1 dijadualkan memasuki proses perolehan tender pada 2027, manakala Pakej 2 di Sepang dijangka siap pada April 2031.
“Pelaksanaan projek ini dijangka dapat mengurangkan risiko banjir secara menyeluruh di sepanjang lembangan sungai, termasuk kawasan hilir seperti Daerah Kuala Langat.
“Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor akan menilai keberkesanan projek berkenaan selepas siap dilaksanakan, khususnya dari aspek paras dan tempoh banjir di kawasan Hulu Langat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 atau Belanjawan 2027 bagi kementeriannya di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, usaha menangani masalah banjir kilat memerlukan kerjasama bersepadu semua pihak, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, penyelenggaraan dan pembersihan sistem saliran serta longkang secara berkala perlu diberi perhatian bagi memastikan aliran air lancar dan mengelakkan air bertakung ketika hujan lebat.
“Maknanya, rangkaian antara kita semua sebenarnya kena melaksanakan secara bersama supaya mengelakkan perkara-perkara tersebut dan kita cuba sebaik mungkin supaya perkara-perkara ini tidak akan berlaku,” tambahnya.