
KUALA LUMPUR, 18 November – Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) menyasarkan pingat emas menerusi acara 3×3 lelaki pada Sukan SEA 2027.
- Sasaran melibatkan empat acara termasuk 5x5 dan 3x3 bagi lelaki dan wanita; persiapan awal sedang dirangka.
- MABA mengemukakan cadangan penyertaan kejohanan dalam dan luar negara 2027 kepada MSN sebagai bahagian persiapan.
- Pendedahan menerusi kejohanan antarabangsa dan penyertaan Pra Sukan SEA di Sarawak penting tingkatkan pengalaman serta daya saing pemain.
- Cadangan Kem Bina Mental Jan hingga Jun 2027 di kem tentera guna tenaga profesional tentera bagi bina ketahanan mental dan disiplin pemain.
Pengurus Besar MABA, Sim Leong Kun berkata tiga lagi acara turut disasarkan menyumbang pingat gangsa.
“Sasaran berkenaan melibatkan empat acara iaitu 5×5 lelaki, 5×5 wanita, 3×3 lelaki dan 3×3 wanita dengan persiapan awal kini dirangka bagi memastikan skuad negara mampu memberikan saingan terbaik selaku tuan rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) Majlis Sukan Negara (MSN) Bil. 2 di sini hari ini.
Bagi merealisasikan sasaran tersebut, katanya MABA telah mengemukakan senarai cadangan penyertaan kejohanan dalam dan luar negara bagi tahun 2027 kepada MSN yang melibatkan keempat-empat acara berkenaan.
Pendedahan menerusi kejohanan antarabangsa dilihat penting untuk meningkatkan pengalaman serta tahap kompetitif pemain sebelum menghadapi temasya berkenaan.
Selain persediaan daripada aspek teknikal dan taktikal, MABA turut mencadangkan pelaksanaan Kem Bina Mental yang dirancang berlangsung antara Januari hingga Jun 2027.
Program yang dicadangkan diadakan di kem tentera itu bakal melibatkan tenaga profesional daripada pihak tentera bagi membentuk ketahanan mental, disiplin serta keupayaan pemain menghadapi tekanan pertandingan.
Dalam perkembangan sama, MABA turut menyatakan kepentingan penyertaan dalam Pra Sukan SEA yang dijadualkan berlangsung di Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh persediaan skuad negara.