
SHENZHEN, 18 November – Garis panduan dan mekanisme pemantauan daripada Amerika Syarikat (AS) masih dinantikan oleh Malaysia bagi memastikan perkhidmatan pusat data di negara ini mematuhi peraturan berkaitan penggunaan cip Unit Pemprosesan Grafik (GPU).
- Peraturan meliputi jualan fizikal cip GPU dan penyediaan kapasiti pengkomputeran kepada pihak ketiga termasuk pelanggan luar negara.
- Malaysia tiada teknologi khusus untuk memantau penggunaan kapasiti cip merentas sempadan.
- Kerajaan akan mewajibkan pusat data mengisytiharkan bilangan cip GPU dimiliki dan sedia menjalankan siasatan jika diminta.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, peraturan berkenaan bukan sahaja melibatkan penjualan fizikal cip GPU, malah turut merangkumi penyediaan kapasiti pengkomputeran kepada pihak ketiga, termasuk pelanggan dari luar negara.
Menurutnya, Malaysia masih berdepan kekangan untuk memantau aktiviti berkenaan secara langsung kerana belum mempunyai teknologi khusus bagi mengesan penggunaan kapasiti cip merentas sempadan.
“Kami menjangkakan pihak AS akan memaklumkan kepada kami secara rasmi mengenai peraturan tersebut, sebelum kami menulis surat kepada kesemua 117 pusat data yang telah diluluskan, ada yang sudah beroperasi dan sebahagiannya masih dalam pembinaan. Itu sahaja. Hanya perlu patuh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerja sempena Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW), di sini.
Datuk Seri Johari berkata, komunikasi dengan pihak AS diteruskan bagi mendapatkan penjelasan mengenai perbezaan antara kawalan penjualan cip fizikal dengan peraturan terhadap perkhidmatan pusat data.
Isu berkenaan mendapat perhatian susulan dakwaan kononnya syarikat pengkomputeran awan Singapura, Megaspeed membawa masuk cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia bernilai AS$4.8 bilion ke Malaysia bagi memintas sekatan eksport AS terhadap China.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada bukti menunjukkan cip terbabit diseludup keluar dari Malaysia.
Katanya, kerajaan bersedia menjalankan siasatan sekiranya menerima permintaan rasmi, selain akan mewajibkan pusat data mengisytiharkan jumlah cip GPU yang dimiliki masing-masing.