RM2.5 juta diluluskan perkasa kemudahan HTAR

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad / Foto BERNAMA

KLANG, 18 November – Sebanyak RM2.5 juta diluluskan bagi memperkukuh keselamatan, kapasiti dan kelancaran aliran pesakit di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan RM1.59 juta untuk naik taraf infrastruktur fizikal termasuk sistem giliran ACC, CCTV KRIBA, auditorium dan bilik mesyuarat.
  • Perolehan peralatan perubatan RM750,000 meliputi kamera endoskop video ENT, tiga defibrilator dan satu alat diatermi.
  • Perolehan oftalmologi RM850,000; sistem fundus diterima dan OCT bernilai RM600,000 kini dalam proses perolehan.
  • Pembinaan Hospital Kapar capai 96.26% kemajuan fizikal; projek Hospital Berpakar 312 katil dengan 17 bidang kepakaran.

Menteri Kesihatan (KKM), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata sebahagian besar peruntukan itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur fizikal berjumlah RM1.59 juta.

Daripada jumlah berkenaan, RM750,000 diperuntukkan bagi menaik taraf sistem pengurusan giliran di Pusat Rawatan Ambulatori (ACC), RM350,000 untuk menaik taraf sistem kamera litar tertutup (CCTV) di Kompleks Rawatan Ibu dan Anak (KRIBA), manakala RM485,000 bagi kerja-kerja menaik taraf auditorium dan bilik mesyuarat.

“Bagi perolehan peralatan perubatan, sebanyak RM750,000 diperuntukkan merangkumi pembelian satu unit kamera endoskop video untuk kegunaan pembedahan telinga, hidung dan tekak (ENT) di dewan bedah bernilai RM605,000, tiga unit alat nyahfibrilasi berjumlah RM90,000 serta satu unit alat diatermi bernilai RM55,000.

“Selain itu, sebanyak RM160,000 diperuntukkan bagi perolehan peralatan bukan perubatan, melibatkan pembelian 250 unit meja sisi katil untuk kegunaan wad di bangunan utama bernilai RM100,000 serta 50 unit kerusi berangkai bagi ruang menunggu klinik dan lobi berjumlah RM60,000,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja rasmi di HTAR bagi meninjau pengoperasian fasiliti, penyampaian perkhidmatan serta pelaksanaan projek naik taraf hospital berkenaan.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Dr. Dzulkefly memaklumkan penambahbaikan infrastruktur, perolehan aset perubatan dan bukan perubatan yang diumumkan pada tahun lalu di HTAR, menunjukkan perkembangan baik.

“Bagi perolehan peralatan oftalmologi yang melibatkan peruntukan sebanyak RM850,000, sistem pemeriksaan fundus bernilai RM250,000 telah diterima dan mula digunakan. Manakala, perolehan alat spektrometer tomografi koheren optik (OCT) bernilai RM600,000 yang diluluskan segera pada tahun lalu kini dalam proses perolehan.

“Kerja-kerja penggantian lif di KRIBA sedang dilaksanakan. Kerja-kerja menaik taraf sistem penyaman udara di KRIBA dan Wad Pediatrik turut dijalankan bagi meningkatkan keselesaan pesakit serta petugas kesihatan.” katanya lagi.

Sementara itu, bagi menangani kesesakan di HTAR dalam jangka panjang, beliau memaklumkan pembinaan Hospital Kapar mencapai kemajuan sebanyak 96.26 peratus setakat 20 Oktober 2026.

“Kemajuan fizikal projek berada pada tahap 96.26 peratus mengikut jadual ditetapkan dan tiada kelewatan projek manakala, kemajuan kewangan mencapai 85.07 peratus.

“KKM memantau rapat kemajuan Hospital Kapar, Hospital Berpakar Major berkapasiti 312 katil dengan 17 bidang kepakaran termasuk fasiliti khas penyakit berjangkit,” ujarnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.