SAREX 2026: Dua kaedah penyelamatan diuji

Dua kaedah penyelamatan digunakan dalam SAREX 2026

LANGKAWI, 18 November – Dua kaedah penyelamatan digunakan dalam Latihan Kecemasan dan Penyelamatan (SAREX) 2026 oleh Langkawi SkyCab bagi mempertingkat kecekapan serta kesiapsiagaan pasukan penyelamat menghadapi insiden melibatkan sistem kereta kabel.

RINGKASAN BERITA AI
  • Latihan dwitahunan bertujuan memperkukuh penyelarasan operasi, komunikasi dan keupayaan tindak balas bersepadu semasa kecemasan.
  • Pasukan menggunakan peralatan penyelamatan bertaraf antarabangsa IMMOSS termasuk SS1 dan TB2 untuk mengakses gondola dan memindahkan mangsa selamat.
  • Simulasi menyelamatkan mangsa terkandas menguji kecekapan teknikal anggota serta melibatkan lebih 80 pegawai dari beberapa agensi penyelamat.

Kedua-dua kaedah itu dipilih berdasarkan keadaan bentuk muka bumi serta ketinggian gondola.

Komander Operasi SAREX Langkawi SkyCab 2026, Mohd Zamri Abdul Ghani berkata, latihan dwitahunan itu bertujuan memperkukuh penyelarasan operasi, komunikasi dan keupayaan tindak balas secara bersepadu sekiranya berlaku kecemasan.

Menurutnya, sepanjang latihan berlangsung, pasukan penyelamat menggunakan peralatan penyelamatan bertaraf antarabangsa bagi mengakses gondola dan memindahkan mangsa secara terkawal.

“Kita menggunakan dua kaedah, iaitu penyelamatan secara menegak (vertical) dan mendatar (horizontal). Peralatan yang digunakan ialah daripada IMMOSS, termasuk SS1 dan TB2.

“Melalui penggunaan sistem berkenaan, mangsa dapat diturunkan ke kawasan darat dengan selamat,” katanya pada sidang media bersempena SAREX Langkawi SkyCab 2026 di Stesen Tengah (Middle Station), yang terletak pada ketinggian 650 meter dari aras laut.

Beliau berkata, simulasi menyelamatkan beberapa mangsa yang terkandas turut menguji kecekapan serta kepakaran teknikal anggota dalam mengendalikan peralatan khusus.

Latihan dwitahunan itu membabitkan lebih 80 pegawai dan anggota daripada beberapa agensi penyelamat, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.