RapidKL perkenal pas kembara tujuh hari tanpa had

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 18 November – Rapid KL dengan kerjasama Tourism Malaysia memperkenalkan Pas Rapid Kembara tujuh hari pada harga RM110 yang menawarkan perjalanan tanpa had rangkaian rel dan bas Rapid KL bagi memudahkan pelancong meneroka Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif bertujuan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, merancakkan ekonomi setempat dan menyokong aspirasi TMM26-27.
  • Pemegang pas menikmati diskaun 10 hingga 50 peratus di lebih 40 premis rakan strategik.
  • Kempen Kembara Rapid Stamp Rally berlangsung 18 November 2026 hingga 17 Mei 2027, menawarkan pasport dan peluang memenangi hadiah.
  • Kempen menyokong usaha mewujudkan Lembah Klang sebagai destinasi bandar mesra pelawat dengan akses kepada tarikan melalui rangkaian rel dan bas.

Menurut Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dr. Prodyut Dutt, inisiatif berkenaan bertujuan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, merancakkan ekonomi setempat serta menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 (TMM26-27).

Beliau berkata pemegang pas turut menikmati diskaun 10 hingga 50 peratus di lebih 40 premis rakan strategik, selain berpeluang menyertai Kempen Kembara Rapid Stamp Rally dari 18 November 2026 hingga 17 Mei 2027.

“Kempen itu menawarkan pasport kepada 10,000 peserta terawal dengan peluang memenangi hadiah menerusi pengumpulan setem di stesen terpilih dan premis rakan strategik,” jelasnya ketika pelancaran pas berkenaan di ibu negara.

Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata kempen berkenaan menyokong usaha memperkukuh Lembah Klang sebagai destinasi pelancongan bandar yang mesra pelawat dengan akses kepada pelbagai tarikan melalui rangkaian rel dan bas.

“Penggunaan pengangkutan awam dapat menggalakkan amalan perjalanan yang lebih lestari serta menyokong aktiviti ekonomi setempat, selaras Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa Bersatu UNSDG dan aspirasi (TMM26-27).

“Malaysia merekodkan 32.3 juta pelawat antarabangsa bagi Januari hingga September 2026 dan 151.6 juta pelawat domestik bagi separuh pertama,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.