Lebih 20,000 isi rumah di Thailand terjejas pencemaran arsenik

Foto hiasan/ AFP

BANGKOK, 18 November -Pihak berkuasa Thailand giat menyalurkan bekalan air bersih kepada lebih 20,000 isi rumah di utara negara itu yang terjejas akibat pencemaran arsenik dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan di negara jiran, Myanmar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekalan air paip di 14 kampung Mae Sai digantung selepas arsenik dikesan sehingga 30 kali ganda melebihi had selamat.
  • Analisis Universiti Naresuan dan pemodelan satelit mendapati deposit arsenik di Sungai Sai dipercayai berpunca daripada perlombongan emas di Myanmar.
  • Kebimbangan meningkat pencemaran boleh mengalir ke Sungai Mekong; arsenik juga dikesan dalam air kencing 17 daripada 177 individu diuji.

Dua lori tangki dikerahkan untuk membekalkan air minuman bersih kepada penduduk, selain mempertimbangkan penggunaan sumber air alternatif dari sungai lain.

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul pada Selasa mengarahkan agensi kerajaan mencari sumber bekalan air alternatif serta memantau kualiti air paip di wilayah Chiang Rai.

Timbalan jurucakap kerajaan, Lalida Persvivatana berkata, bekalan air paip di 14 kampung di daerah Mae Sai, berhampiran sempadan Myanmar, digantung pada bulan ini selepas pemeriksaan mendapati paras arsenik dalam sistem bekalan air tempatan mencecah 30 kali ganda melebihi had selamat.

Ujian susulan turut mengesan kepekatan arsenik dalam air mentah Sungai Sai, iaitu anak sungai yang mengalir ke Sungai Mekong, pada paras 25 kali ganda melebihi had yang ditetapkan bagi air minuman.

Sementara itu, penyelidik Universiti Naresuan dalam analisis yang dijalankan mendapati sebahagian besar mendapan tercemar arsenik di Sungai Sai dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan emas di Myanmar.

Kajian itu menggunakan analisis kimia dan pemodelan satelit bagi mengenal pasti sumber pencemaran berkenaan.

Konflik berpanjangan di Myanmar turut menimbulkan kebimbangan terhadap kegiatan penerokaan sumber asli tanpa kawalan, termasuk perlombongan unsur nadir bumi yang digunakan dalam pembuatan telefon pintar, turbin angin dan kenderaan elektrik.

Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow sebelum ini membangkitkan isu peningkatan pencemaran di Sungai Sai ketika mengadakan lawatan ke Myanmar minggu lalu.

Kerajaan Thailand turut memaklumkan isu berkenaan telah dibincangkan dengan China, susulan dakwaan penyelidik bahawa banyak operasi perlombongan di Myanmar dikendalikan syarikat dari negara itu.

Kebimbangan turut meningkat apabila bahan pencemar berkemungkinan mengalir jauh ke Sungai Mekong, yang menjadi sumber kehidupan kepada jutaan penduduk di beberapa negara.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Thailand memaklumkan arsenik turut dikesan dalam sampel air kencing 17 daripada 177 individu yang menjalani ujian pada Oktober lalu di wilayah Nong Khai, yang bersempadan dengan Laos. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.