MTL: NADMA perkukuh kesiapsiagaan rakan strategik

Foto FB NADMA

PUTRAJAYA, 18 November– Kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 memerlukan penglibatan dan kerjasama seluruh masyarakat termasuk badan bukan kerajaan (NGO), institusi akademik dan sektor korporat.

RINGKASAN BERITA AI
  • NADMA menganjurkan taklimat Rakan NADMA untuk memperkukuh penyelarasan peranan rakan strategik selaras Dasar Pengurangan Risiko Bencana 2030.
  • Taklimat memberi penekanan pada ramalan Monsun Timur Laut 2026/2027 dan peranan NGO di Pusat Kawalan Operasi Bencana daerah serta negeri.
  • NADMA tekankan sumbangan Rakan NADMA sepanjang kitaran pengurusan bencana serta tahap kesiapsiagaan melibatkan hampir 102,000 anggota dan 40,000 aset operasi.

Sehubungan itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menganjurkan taklimat persediaan Rakan NADMA dalam menghadapi MTL 2026/2027 di sini semalam bagi memperkukuh penyelarasan peranan dan kesiapsiagaan rakan strategik dalam pengurusan bencana, selaras dengan Dasar Pengurangan Risiko Bencana 2030 (DRR2030).

NADMA dalam hantaran Facebook hari ini memaklumkan taklimat yang menghimpunkan wakil daripada 50 pertubuhan Rakan NADMA itu memberikan penekanan pada ramalan MTL 2026/2027 dan peranan NGO di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah dan negeri.

“Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana) NADMA Datuk Hussain Moh menegaskan bahawa sumbangan Rakan NADMA amat penting sepanjang keseluruhan kitaran pengurusan bencana, merangkumi aspek kesiapsiagaan, tindak balas dan pemulihan, bukan sekadar penyaluran bantuan makanan,” menurut NADMA.

MTL telah bermula 27 Okt lepas dan dijangka berakhir pada Mac 2027 dan NADMA dilaporkan berada pada tahap kesiapsiagaan dengan hampir 102,000 anggota pelbagai jabatan dan agensi serta kira-kira 40,000 aset operasi bakal digerakkan bagi menghadapi musim itu.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.