
KUALA LUMPUR, 18 November – Kerajaan terus memperluas pelbagai inisiatif bagi membantu mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) khususnya memenuhi keperluan asas mereka sepanjang tempoh pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).
- Inisiatif Dapur Siswa MADANI menyediakan makanan percuma dua kali sehari di kolej kediaman universiti awam.
- Pembinaan 15 kolej kediaman melalui kerjasama awam swasta menambah kapasiti sehingga 45,000 pelajar; lima kolej baharu RMK13 sediakan 21,000.
- Peruntukan RM800 juta pada 2027 untuk penggantian, penaiktarafan dan pemulihan infrastruktur serta peralatan usang di IPTA.
- Pelajar B40 menerima bantuan pembiayaan seperti Wang Pendahuluan Pinjaman RM1,500, Biasiswa BAeK PTPTN dan Program SULUNG.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata inisiatif itu merangkumi penyediaan makanan, kemudahan penginapan, bantuan pengangkutan serta pembiayaan pendidikan.
“Ketika ini, KPT telah melaksanakan Inisiatif Dapur Siswa MADANI (DSM) yang menyediakan makanan percuma sebanyak dua kali sehari dengan memanfaatkan kemudahan dapur serta bahan mentah di kolej kediaman universiti awam (UA).
“Inisiatif ini menyokong aspirasi Zero Hunger, selain memupuk budaya kesukarelawanan dan semangat kebersamaan dalam komuniti kampus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, dalam aspek kemudahan penginapan Adam berkata sebanyak 15 projek pembinaan kolej pembinaan kediaman menerusi kaedah kerjasama awam swasta (PPP) disiapkan antara 2021 hingga 2025, dengan kapasiti keseluruhan sehingga 45,000 pelajar.
Selain itu, kerajaan merancang membangunkan lima kolej kediaman baharu di UA dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang dijangka menyediakan kapasiti penginapan sehingga 21,000 pelajar.
Bagi meningkatkan kemudahan sedia ada, KPT diperuntukkan RM800 juta pada 2027 untuk penggantian, penaiktarafan dan pemulihan infrastruktur serta peralatan usang di IPTA, termasuk asrama dan kolej kediaman.
Selain itu, pembinaan Residensi Mahasiswa Universiti Malaya Fasa 1 yang dijangka siap pada 2031 bakal memberi manfaat kepada 10,000 pelajar, manakala Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menyediakan pelaburan RM750 juta bagi pembangunan projek Vista Kampus di enam universiti terpilih.
Bagi meringankan kos perjalanan, inisiatif FLYsiswa menyediakan subsidi pembelian tiket penerbangan bernilai RM400 dalam bentuk kredit kepada pelajar IPT bagi perjalanan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Jumlah bantuan itu akan dinaikkan kepada RM500 menerusi Belanjawan 2027.
Dalam aspek pembiayaan pendidikan, pelajar B40 yang layak turut menerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) RM1,500 sebelum mendaftar ke UA atau politeknik.
KPT juga menyediakan Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN) kepada pelajar miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih, selain Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) bagi membantu generasi pertama keluarga B40 melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.