Sasar 30 peratus kandungan tempatan bagi projek pusat data

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong / Foto Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 November – Kerajaan menetapkan sasaran minimum 30 peratus kandungan tempatan bagi setiap projek pusat data baharu yang diluluskan menerusi Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF).

RINGKASAN BERITA AI
  • Memastikan perkembangan pesat industri pusat data memberi limpahan ekonomi kepada syarikat tempatan.
  • Pengendali digalakkan melaksanakan program pembangunan pembekal tempatan dan pemindahan teknologi untuk memperkukuh keupayaan industri domestik.
  • Kerajaan memberi penekanan kepada pembangunan modal insan melalui kerjasama strategik dengan pengendali, pemain industri dan institusi latihan.
  • Usaha memperluas peluang latihan industri, pemindahan pengetahuan dan pensijilan profesional untuk meningkatkan penyertaan tenaga kerja tempatan.

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata sasaran itu bertujuan memastikan perkembangan pesat industri pusat data turut memberi limpahan ekonomi kepada syarikat tempatan.

Menurutnya, pengendali pusat data juga digalakkan melaksanakan program pembangunan pembekal tempatan bagi memperkukuh keupayaan industri domestik selain, menggalakkan pemindahan teknologi.

“Kerajaan turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan menerusi kerjasama strategik dengan pengendali pusat data, pemain industri dan institusi latihan.

“Usaha ini bertujuan memperluas peluang latihan industri, pemindahan pengetahuan serta pensijilan profesional yang relevan dengan keperluan industri, sekali gus meningkatkan penyertaan dan penguasaan tenaga kerja tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng di Dewan Rakyat.

Persoalan dikemuka Datuk Seri Dr. Wee Jeck berhubung mekanisme khusus kerajaan bagi memastikan pertumbuhan pesat pusat data di Johor Utara, termasuk Sedenak dan Iskandar Puteri, turut memberi limpahan ekonomi kepada daerah bersebelahan seperti Pontian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.