Naik taraf Jalan Utama Palong FT44 selesai Makmal Pengurusan Nilai

Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini./ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 November – Projek menaik taraf Jalan Utama Palong FT44 di Jempol, Negeri Sembilan, yang membabitkan jajaran Seksyen 10.00 hingga Seksyen 25.00 serta Persimpangan Palong 78, kini berada pada peringkat perancangan selepas selesai menjalani Makmal Pengurusan Nilai pada 7 hingga 9 Oktober lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian memastikan projek di bawah Rolling Plan Pertama dilaksanakan mengikut jadual dan spesifikasi ditetapkan.
  • KKR bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk merancang dan melaksanakan penambahbaikan jalan agar selamat, selesa dan berdaya tahan.
  • Cadangan naik taraf Seksyen 0.00 hingga 9.10 dalam Rolling Plan Kedua belum diluluskan; negeri disarankan kemukakan semula melalui JKR atau Unit Perancang Ekonomi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tumpuan kementerian ketika ini adalah memastikan projek yang telah diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) itu dapat dilaksanakan mengikut jadual dan spesifikasi ditetapkan.

Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan pembangunan dan penyenggaraan infrastruktur jalan di seluruh negara, termasuk melalui kerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan rangkaian jalan raya memenuhi keperluan trafik semasa dan akan datang.

“Kementerian akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam merancang dan melaksanakan penambahbaikan rangkaian jalan raya bagi memastikan infrastruktur yang disediakan adalah selamat, selesa, berdaya tahan serta dapat memenuhi keperluan trafik semasa dan akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, cadangan menaik taraf jajaran Jalan Utama Palong FT44 dari Seksyen 0.00 hingga Seksyen 9.10 yang dikemukakan Kerajaan Negeri Sembilan di bawah Rolling Plan Kedua (RP2), RMK13, masih belum mendapat kelulusan.

Menurut beliau, perkara itu disebabkan keutamaan peruntukan diberikan kepada projek-projek lain di negeri berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri mengemukakan semula cadangan berkenaan menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri atau Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri untuk dimasukkan dalam senarai keutamaan negeri bagi Rolling Plan akan datang.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli, pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat berhubung perancangan kementerian untuk menaik taraf Jalan Utama Palong FT44 dari Seksyen 0.00 hingga Seksyen 9.10.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.