Jordan, Iraq sekat Telegram atas faktor keselamatan

Aplikasi Telegram/ AFP

AMMAN, 17 November – Jordan dan Iraq mengumumkan sekatan terhadap aplikasi pesanan Telegram pada Isnin atas kebimbangan platform itu disalahgunakan untuk menyebarkan fahaman ekstremisme.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tujuan tindakan: memperkukuh keselamatan digital dan melindungi pengguna daripada penyalahgunaan untuk jenayah siber, ugutan, pemerasan dan kandungan haram.
  • Langkah di Iraq bertujuan membendung penyebaran fahaman radikal, hasutan keganasan dan perpecahan, ketika ketegangan dengan kumpulan bersenjata meningkat.
  • Telegram berkata ia menghapuskan kandungan berbahaya namun tidak menyekat kewartawanan penyiasatan, kebebasan bersuara aman atau seruan demonstrasi.

Direktorat Keselamatan Jordan dalam kenyataan memaklumkan, sekatan itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan digital dan melindungi pengguna.

Pihak berkuasa Jordan berkata, langkah berkenaan bertujuan melindungi masyarakat daripada penyalahgunaan platform digital bagi melakukan jenayah siber, ugutan, pemerasan serta penyebaran kandungan yang menyalahi undang-undang.

Ia turut bertujuan membendung usaha menyebarkan fahaman radikal dan ekstremisme yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Jordan sebelum ini digemparkan dengan serangan di sebuah gereja pada 23 Oktober lalu yang mengorbankan sembilan individu dan mencederakan puluhan yang lain.

Bagaimanapun, tiada bukti menunjukkan mereka menggunakan Telegram dalam serangan berkenaan.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Media Iraq pada Isnin turut mengumumkan larangan penggunaan aplikasi Telegram susulan keputusan Perdana Menteri, Ali al-Zaidi.

Menurut suruhanjaya itu, langkah berkenaan bertujuan membendung penyalahgunaan platform media sosial untuk menyebarkan fahaman radikal, mencetuskan perpecahan serta menghasut keganasan dan kebencian.

Larangan di Iraq dilaksanakan ketika ketegangan antara Zaidi dengan sebuah kumpulan bersenjata berpengaruh yang disokong Iran semakin memuncak.

Kumpulan yang mempunyai kaitan dengan puak berkenaan antara pengguna paling aktif Telegram di Iraq, yang turut digunakan secara meluas institusi kerajaan, organisasi media dan kumpulan bersenjata.

Iraq sebelum ini pernah mengenakan sekatan sementara terhadap Telegram ketika konflik Asia Barat yang bermula pada Februari lalu, namun kerajaan tidak mengumumkan larangan rasmi ketika itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Telegram menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya menguatkuasakan syarat perkhidmatan dengan menghapuskan kandungan berbahaya, namun tidak akan menyekat kewartawanan penyiasatan, kebebasan bersuara secara aman atau seruan untuk mengadakan demonstrasi.

Syarikat itu turut menegaskan usaha membanteras keganasan yang dilaksanakannya didokumentasikan secara terbuka dan melangkaui keperluan undang-undang bagi melindungi lebih satu bilion penggunanya.

Jordan sebelum ini turut mengharamkan platform media sosial TikTok pada Disember 2022 susulan penyebaran video yang didakwa pihak berkuasa menghasut pembunuhan dan mencetuskan kekacauan.

Larangan itu dibuat selepas tercetusnya demonstrasi membantah kenaikan harga bahan api yang berakhir dengan keganasan sehingga mengorbankan seorang anggota keselamatan.

Pada Ahad, sebuah mahkamah Jordan menjatuhkan hukuman mati melalui gantung sampai mati terhadap tiga lelaki berhubung serangan di gereja pada Oktober lalu.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.