
KUALA LUMPUR, 12 November – Malaysia perlu meningkatkan penghasilan tenaga kerja berkemahiran khusus dalam bidang penjagaan warga emas bagi memenuhi keperluan perkhidmatan penjagaan jangka panjang.
- Peruntukan RM40 juta melalui HRD Corp untuk melatih 8,000 tenaga kerja penjagaan warga emas dianggap perkembangan positif.
- Insentif pelepasan cukai bagi perbelanjaan penjagaan ibu bapa membantu kurangkan beban kewangan keluarga dan galakkan kesedaran.
- Pusat jagaan harian perlu sediakan aktiviti tersusun serta profesional kesihatan diberi latihan khusus untuk penjagaan warga emas.
Presiden Persatuan Penuaan Sihat Malaysia (MHAS), Profesor Nathan Vytialingam berkata, langkah itu penting bagi memastikan negara bersedia menghadapi perubahan struktur demografi, susulan jangkaan Malaysia mencapai status negara tua menjelang 2030.
“Semakin ramai warga emas kini tinggal bersendirian. Oleh itu, pusat jagaan harian perlu menyediakan aktiviti yang tersusun dan bermatlamat bagi menggalakkan penglibatan mereka.
“Namun, pelaksanaan aktiviti sedemikian memerlukan tenaga kerja yang terlatih dan mempunyai kemahiran khusus.
“Justeru, lebih ramai golongan profesional kesihatan perlu diberikan latihan dalam bidang penjagaan warga emas bagi memenuhi keperluan sektor ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada RTM selepas Forum Ekonomi Perak 2026: Penuaan Sihat untuk Pertumbuhan Ekonomi, yang berlangsung baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan peruntukan RM40 juta menerusi HRD Corp bagi melatih 8,000 tenaga kerja dalam sektor penjagaan warga emas sebagai perkembangan positif dalam memperkukuh kapasiti tenaga kerja industri berkenaan.
Selain pembangunan tenaga kerja, beliau turut menyambut baik insentif pelepasan cukai bagi perbelanjaan penjagaan ibu bapa yang disifatkan dapat membantu mengurangkan beban kewangan keluarga.
Katanya, insentif berkenaan juga mampu meningkatkan kesedaran anak-anak mengenai kemudahan pelepasan cukai bagi perbelanjaan berkaitan penjagaan ibu bapa, termasuk pembelian ubat-ubatan, peralatan perubatan, kerusi roda dan alat bantuan berjalan.
“Perkara paling penting adalah memastikan hubungan dan tanggungjawab antara warga emas dengan anak-anak mereka terus diperkukuh, khususnya dalam aspek penjagaan dan kebajikan,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2027 mengumumkan kadar cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan penjagaan warga emas dikurangkan daripada lapan kepada enam peratus, selain pengecualian penuh cukai bagi yuran penjagaan sehingga RM96,000 setahun, berkuat kuasa 1 Januari 2027.