
WASHINGTON, 14 November – Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat menarik balik arahan menghentikan sementara operasi penerbangan di lapangan terbang seluruh negara selepas gangguan selama beberapa jam akibat masalah komunikasi dalam sistem kawalan trafik udara.
- Gangguan berpunca daripada kegagalan perkakasan lama, khususnya suis dan penghala yang terlebih beban dengan data.
- Pentadbiran memohon peruntukan AS$30 bilion kepada Kongres untuk memodenkan dan menaik taraf Sistem Kawalan Trafik Udara.
- Tiada petunjuk serangan siber atau kaitan dengan gangguan Microsoft; perjalanan udara disahkan selamat dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Pihak berkuasa menjelaskan, gangguan itu berpunca daripada kegagalan peralatan lama yang digunakan dalam sistem berkenaan, bukannya disebabkan serangan siber atau gangguan besar-besaran terhadap sistem Microsoft.
Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy, ketika memberikan taklimat di White House, mengesahkan ruang udara negara itu sudah dibuka semula, namun memberi amaran gangguan jadual penerbangan dijangka berterusan dalam tempoh terdekat
“Ruang udara telah dibuka semula. Namun, ini tidak bermakna semua penerbangan akan beroperasi serta-merta kerana proses pemulihan akan mengambil masa,” katanya.
Gangguan itu berlaku sehari selepas Duffy dan White House mengemukakan permohonan rasmi kepada Kongres bagi mendapatkan peruntukan AS$30 bilion untuk menaik taraf serta memodenkan Sistem Kawalan Trafik Udara negara itu.
Menurut Duffy, gangguan berpunca daripada suis rangkaian dan penghala yang gagal berfungsi akibat beban data berlebihan.
“Suis dan penghala kami terlebih beban dengan data sebelum mengalami kegagalan. Perkakasan lama itulah yang menjadi punca masalah,” katanya.
Beliau turut membangkitkan keperluan Kongres menyediakan peruntukan bagi meningkatkan keupayaan sistem berkenaan.
Bagaimanapun, Duffy menegaskan bahawa perjalanan udara di negara itu masih selamat.
Sementara itu, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Markwayne Mullin, menolak spekulasi bahawa gangguan berkenaan berpunca daripada serangan siber terancang atau mempunyai kaitan dengan gangguan Microsoft yang menjejaskan perkhidmatan di seluruh dunia.
Beliau berkata tiada petunjuk awal yang menunjukkan berlakunya serangan siber.
“Apabila kita meneliti ancaman atau serangan siber, lazimnya ada pihak yang akan mengaku bertanggungjawab. Namun, tiada sebarang petunjuk sedemikian dan kami tidak menemui sebarang jejak serangan,” katanya.
Bagaimanapun, Mullin berkata agensi keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang AS masih menjalankan pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. AFP