8,600 lori bantuan musim sejuk masuk Gaza

Foto Viory

GAZA, 14 November – Lebih 93,000 khemah dan 8,600 lori membawa bekalan musim sejuk dilaporkan memasuki Gaza, ketika ribuan khemah penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal ditenggelami banjir akibat hujan lebat.

RINGKASAN BERITA AI
  • IDF mendakwa penghantaran termasuk peralatan perubatan dan ubat-ubatan bagi memenuhi keperluan penduduk Gaza.
  • Sebanyak 16 lori penyedut kumbahan dibawa masuk untuk sokongan sanitasi, baik pulih sistem kumbahan, saliran dan bekalan air.
  • Lembaga Keamanan yang disokong AS menggesa Israel membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan; jumlah yang dibenarkan masih tidak mencukupi.
  • Rakaman IDF menunjukkan lori berhampiran pintu sempadan Kerem Shalom dan gudang; ratusan lori menghantar peralatan perubatan ke hospital dan klinik.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam kenyataan pada Jumaat mendakwa penghantaran itu turut merangkumi peralatan perubatan dan ubat-ubatan bagi memenuhi keperluan penduduk di wilayah berkenaan.

Selain itu, sebanyak 16 lori penyedut kumbahan turut dibawa masuk bagi menyokong usaha menangani masalah sanitasi, termasuk kerja membaik pulih sistem kumbahan, saliran dan bekalan air.

Perkembangan itu menyusul gesaan Lembaga Keamanan ‘Board of Peace’ yang disokong Amerika Syarikat (AS) pada Isnin supaya Israel membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan memasuki Gaza.

Lembaga berkenaan menyifatkan jumlah bantuan yang dibenarkan masuk masih tidak mencukupi, terutama ketika hujan lebat mengakibatkan ribuan khemah penempatan sementara penduduk Palestin dinaiki air.

Ia turut menggesa kemasukan segera bekalan perlindungan, peralatan sanitasi dan bahan bagi membaik pulih sistem saliran untuk menangani kesan banjir.

Rakaman yang dikeluarkan IDF menunjukkan lori membawa bekalan musim sejuk, peralatan perubatan dan ubat-ubatan berhampiran pintu sempadan Kerem Shalom, selain gudang terbuka yang menyimpan pelbagai barangan bantuan.

Dalam pada itu, ratusan lori membawa peralatan perubatan dan ubat-ubatan dilaporkan dihantar terus ke hospital serta klinik di Gaza sejak beberapa minggu kebelakangan ini.-Viory

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.