
WASHINGTON, 14 November – Microsoft memohon maaf atas gangguan perkhidmatan global yang menjejaskan operasi perniagaan dan perkhidmatan awam di 74 negara serta wilayah, selepas melaporkan pemulihan secara berperingkat bagi aplikasi Outlook dan beberapa perkhidmatan lain.
Syarikat teknologi itu dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan gangguan yang bermula Khamis berpunca daripada masalah teknikal dan bukannya aktiviti siber atau kecerdasan buatan (AI).
- Gangguan berpunca daripada masalah teknikal, bukan serangan siber atau kecerdasan buatan.
- Microsoft sedang berusaha memulihkan sepenuhnya perkhidmatan; kestabilan operasi menunjukkan perkembangan positif.
- Gangguan menjejaskan perkhidmatan kesihatan, laporan kewangan, komunikasi sekolah serta operasi syarikat dan agensi.
- Masalah timbul semasa naik taraf kapasiti rangkaian; punca utama telah ditangani dan pemulihan diteruskan.
Microsoft berkata pihaknya sedang berusaha memulihkan sepenuhnya semua perkhidmatan yang terjejas, meskipun kestabilan operasi secara keseluruhan menunjukkan perkembangan positif.
Gangguan berkenaan menjejaskan beberapa produk Microsoft sehingga mengganggu perkhidmatan kesihatan, melambatkan laporan kewangan korporat serta menyukarkan komunikasi di sekolah.
Di United Kingdom, kesatuan sekerja GMB memaklumkan gangguan itu memberi kesan serius terhadap perkhidmatan kesihatan negara berkenaan.
Ketua Perkhidmatan Awam GMB, Rachel Harrison berkata, kakitangan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) yang mengendalikan panggilan kecemasan tidak dapat merujuk maklumat pesakit seperti kebiasaan, sekali gus menyebabkan tunggakan urusan.
Di India pula, syarikat penerbangan IndiGo dan Akasa Air memberi amaran bahawa gangguan perkhidmatan e-mel Microsoft menjejaskan saluran komunikasi pelanggan, manakala Immigration New Zealand terpaksa menghentikan sementara pemprosesan semua permohonan visa.
Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Ryosei Akazawa turut memberi amaran mengenai kesan besar gangguan itu memandangkan produk Microsoft digunakan secara meluas.
Sementara itu, Microsoft menjelaskan gangguan berpunca daripada isu yang timbul ketika proses naik taraf kapasiti rangkaian terdahulu dan tercetus susulan perubahan rangkaian terkini.
Syarikat itu berkata punca utama masalah berkenaan sudah ditangani dan usaha pemulihan diteruskan bagi pelanggan serta wilayah yang masih terjejas.-Afp