
KUALA LUMPUR, 13 November – Lorong kecemasan Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, antara Bidor dan Tapah, ditutup sementara sehingga 15 Januari 2027 bagi membolehkan kerja menaik taraf penghadang jambatan di laluan berkenaan.
- Lorong kecemasan KM329.9 hingga KM329.35 ditutup sementara.
- Dua lorong kanan dan kiri dibuka serta beroperasi seperti biasa.
- Pengguna diminta mematuhi papan tanda, arahan petugas dan had laju.
- Rancang perjalanan; maklumat trafik melalui aplikasi PLUS, PUTRI, X @plustrafik, VMS; kecemasan lapor PLUSLine 1800-88-0000.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan memaklumkan, penutupan itu membabitkan lorong kecemasan dari Kilometer (KM) 329.9 hingga KM329.35.
“Kerja menaik taraf penghadang jambatan di KM329.9 arah utara itu dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya.
“Dua lorong kanan dan kiri di laluan terbabit dibuka dan beroperasi seperti biasa kepada pengguna lebuh raya sepanjang tempoh kerja dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan supaya mematuhi papan tanda keselamatan, arahan petugas serta had laju yang ditetapkan ketika melalui kawasan kerja.
PLUS turut menyarankan pengguna merancang perjalanan lebih awal dan mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi aplikasi PLUS, Pembantu Maya PUTRI, akaun X @plustrafik serta paparan mesej elektronik (VMS) di lokasi terpilih.
Sebarang kecemasan boleh dilaporkan kepada PLUSLine menerusi talian 1800-88-0000.
PLUS turut menghargai kesabaran dan kerjasama pengguna sepanjang tempoh pelaksanaan kerja berkenaan.