HKL pantau rapi anggota polis selepas pembedahan sambung semula tangan

Foto FB Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR, 13 November – Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Hospital Kuala Lumpur (HKL) menjalankan pemantauan rapi terhadap perkembangan penyambungan semula tangan anggota polis, Lans Koperal Thierry Rodger anak Fendy yang mengalami kecederaan, Rabu lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembedahan lapan jam menyambung semula salur darah, struktur saraf dan memulihkan struktur anatomi tangan yang tercedera.
  • Pembedahan diketuai Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri Dr R. Allan Ravi serta Dr Aziz Sabbir Husain bersama pasukan mikrosurgeri dan anestesiologi.
  • Kes melibatkan prosedur kompleks memerlukan kemahiran mikrosurgeri tinggi, kepakaran multidisiplin dan teknologi untuk rawatan menyeluruh dan optimum.

Pengarah HKL, Datuk Dr Harikrishna K. R. Nair menerusi kenyataan berkata anggota polis berkenaan dirujuk ke hospital itu untuk mendapatkan rawatan kepakaran, sebelum segera dibawa ke Dewan Bedah Utama bagi pembedahan tersebut selepas pemeriksaan dan penilaian teliti dilakukan oleh pasukan pakar.

“Pembedahan selama lapan jam itu melibatkan penyambungan semula salur darah dan struktur saraf yang tercedera, selain pemulihan struktur anatomi tangan yang terlibat.

“Pembedahan itu diketuai Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri HKL Dr R. Allan Ravi dan Dr Aziz Sabbir Husain dengan kerjasama seluruh pasukan Unit Anggota Atas dan Mikrosurgeri HKL serta pasukan anestesiologi,” katanya.

Beliau berkata kes itu melibatkan prosedur kompleks yang memerlukan kepakaran khusus, kemahiran mikrosurgeri tinggi serta kerjasama erat antara pelbagai disiplin bagi memastikan rawatan menyeluruh dan optimum.

“HKL komited untuk terus menyediakan perkhidmatan rawatan berkualiti tinggi menerusi kepakaran multidisiplin, teknologi dan kemahiran profesional demi kesejahteraan masyarakat,” katanya lagi.

Terdahulu, anggota polis itu putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.