
PUTRAJAYA, 13 November – Jemaah Menteri hari ini memutuskan untuk mengekalkan syarat minimum kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke program pengajian perubatan, seperti yang ditetapkan sebelum pindaan.
- Lepasan UEC yang memperoleh sekurang-kurangnya gred B4 dalam lima mata pelajaran masih layak memohon program ijazah perubatan di IPTS.
- KKM dan MMC akan menyelaras tindakan susulan bersama Kementerian Pendidikan Tinggi.
- Langkah ini memastikan proses kemasukan lancar dan mengekalkan piawaian serta kualiti pendidikan perubatan di negara termasuk IPTS.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu membolehkan lepasan UEC yang memperoleh sekurang-kurangnya gred B4 dalam lima mata pelajaran ditetapkan, terus layak memohon kemasukan ke program ijazah perubatan di Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).
“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini juga telah mencapai satu ketetapan iaitu mengekalkan syarat minimum kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu ataupun UEC ke program pengajian perubatan sepertimana syarat sebelum pindaan.”
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di Putrajaya.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) akan menyelaras tindakan susulan bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Langkah itu bagi memastikan proses kemasukan berjalan lancar, selain menyelesaikan sebarang isu berbangkit.
Pada masa sama, standard serta kualiti pendidikan perubatan negara, termasuk di IPTS, akan terus dipelihara.