PM arah tindakan segera tangani banjir berulang di Selangor

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 13 November – Kerajaan akan mempergiat usaha menangani masalah banjir berulang di Selangor menerusi tindakan segera dan penyelarasan lebih menyeluruh di semua peringkat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri arah semua jabatan termasuk JPS melaksanakan tindakan segera tanpa menangguh pelaksanaan kerja yang dipersetujui.
  • Tingkatkan kekerapan pembersihan parit dan sungai, contohi DBKL sehingga enam kali setahun untuk mengurangkan risiko banjir.
  • Bantuan tunai dinaikkan kepada RM2,500 manakala sumbangan Selangor RM3,000; PM tekankan pencegahan dan penyelenggaraan infrastruktur berterusan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara langkah yang akan dilaksanakan termasuk penambahan peruntukan serta meningkatkan kekerapan kerja pembersihan parit dan sungai bagi mengurangkan risiko banjir.

Beliau berkata, pendekatan itu perlu dipercepat dengan mengambil contoh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang melaksanakan pembersihan parit dan sungai sehingga enam kali setahun berbanding hanya dua kali sebelum ini.

“Hasil pertemuan saya dengan menteri-menteri dan Kerajaan Selangor semalam. Saya bermesyuarat di Parlimen kerana masalah yang dihadapi kesan banjir berterusan.

“Saya tidak boleh terima apabila penduduk terpaksa berdepan banjir empat hingga lima kali setahun. Walaupun paras air tidak tinggi, kesannya tetap membebankan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 2,000 jemaah di Madrasathul Gouthiyyah, Brickfields, hari ini.

Datuk Seri Anwar turut mengarahkan semua jabatan berkaitan, termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memulakan tindakan segera tanpa menangguhkan pelaksanaan kerja yang telah dipersetujui.

Beliau berkata, faktor hujan lebat dan peningkatan paras air laut mungkin sukar dikawal, namun usaha tambahan perlu dilaksanakan bagi mengurangkan risiko serta beban yang ditanggung penduduk.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut meningkatkan bantuan kepada penduduk terjejas banjir daripada RM1,000 kepada RM2,500, manakala sumbangan Kerajaan Selangor dinaikkan daripada RM500 kepada RM3,000.

Beliau menegaskan bantuan kewangan sahaja tidak memadai untuk mengatasi kesukaran mangsa, sebaliknya tindakan pencegahan dan penyelenggaraan infrastruktur perlu dipertingkat secara berterusan.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.