
KUALA LUMPUR, 13 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua pasukan keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak tegas dalam menangani jenayah serta tidak berkompromi dengan sebarang bentuk pelanggaran undang-undang.
- Kerajaan memberi sokongan penuh kepada anggota pasukan keselamatan dalam menjaga keamanan dan keselamatan rakyat.
- Datuk Seri Anwar menegaskan anggota keselamatan boleh memanfaatkan peraturan dan undang undang sedia ada untuk bertindak tegas.
- Seorang anggota polis diserang lelaki warga asing bersenjatakan parang sehingga putus pergelangan tangan kanan.
- HKL berjaya menyambung semula pergelangan tangan anggota polis, membuktikan kepakaran dan kemampuan petugas kesihatan negara.
Datuk Seri Anwar berkata, kerajaan memberi sokongan penuh kepada anggota pasukan keselamatan negara yang melaksanakan tanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan rakyat.
“Saya mendapat khabar tentang kemalangan anggota polis yang ditetak. Jadi saya dalam Mesyuarat Jemaah Menteri tadi menyatakan bahawa kita bagi sokongan kepada jentera dan pasukan keselamatan kita, supaya tegas kita tidak boleh tolak ansur dengan jenayah dan tegas jangan dianggap hal ini mudah.
“Ya, ada peraturan yang dan undang-undang sedia ada yang dapat dimanfaatkan dan digunakan oleh anggota polis serta pasukan keselamatan amnya,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 2,000 jemaah di Madrasathul Gouthiyyah, Brickfields, di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan seorang anggota polis yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak putus pergelangan tangan kanan selepas diserang lelaki warga asing bersenjatakan parang.
Kejadian kira-kira pukul 7 malam Rabu lalu berlaku di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong.
Dalam pada itu Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan kejayaan menyambung semula pergelangan tangan anggota polis yang ditetak sebelum ini.
Katanya, kejayaan itu secara tidak langsung membuktikan tahap kepakaran serta kemampuan petugas kesihatan negara dalam melaksanakan prosedur perubatan yang mencabar.