
GEORGE TOWN, 12 November- Cadangan pembelian air terawat dari Perak bagi memenuhi keperluan bekalan air Pulau Pinang mendapat kelulusan pemegang saham PBA Holdings Bhd menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat itu hari ini.
- Pembelian menepati syarat terdahulu dalam perjanjian pembekalan air.
- Pelaksanaan projek masih tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
- Pembelian air terawat secara pukal dari Perak lebih ekonomik berbanding penyahgaraman laut.
- PAIP akan membekalkan 300 hingga 500 juta liter sehari kepada Pulau Pinang, bagi tempoh 2032 hingga 2072.
Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Chow Kon Yeow berkata kelulusan itu membolehkan PBAPP memenuhi syarat terdahulu dalam perjanjian pembekalan air berkenaan, namun pelaksanaannya masih tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“Pembelian air terawat oleh PBAPP di bawah Northern Perak Water, seperti yang telah beberapa kali kita umumkan, menandakan bahawa PBAPP telah memperoleh kelulusan bagi memenuhi syarat terdahulu (condition precedent) yang terkandung dalam perjanjian berkenaan,” katanya selepas EGM PBA Holdings di sini.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata pembelian air terawat secara pukal dari Perak merupakan pilihan lebih ekonomik berbanding proses penyahgaraman air laut.
Menurutnya, kos rawatan air tawar secara konvensional untuk menghasilkan air terawat jauh lebih rendah berbanding proses penyahgaraman.
Menerusi perjanjian itu, Prasarana Air dan Irigasi Perak Sdn Bhd (PAIP) akan membekalkan antara 300 juta hingga 500 juta liter air terawat sehari kepada Pulau Pinang bagi tempoh 40 tahun, bermula 2032 hingga 2072.