
AYER KEROH, 11 November – Program Pra Tahfiz KEMAS di Melaka diperluas dengan 302 kelas tahun ini melibatkan 4,237 kanak-kanak.
- KEMAS menambahbaik pendidikan al-Quran sejak peringkat prasekolah sebagai asas pembentukan ilmu dan akhlak.
- Pendidikan berteraskan al-Quran perlu dimulakan sejak usia awal supaya menjadi pedoman dan memberi kekuatan kepada anak.
- Kerajaan memperkenalkan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia SPTM untuk dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun ini.
- Diperkukuh dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0 memberi peluang kanak-kanak pelbagai latar mendapat pendidikan al-Quran tanpa membebankan kewangan ibu bapa.
Perkembangan itu menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencerminkan usaha KEMAS menambahbaik pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak sejak peringkat prasekolah.
“Pendidikan berteraskan al-Quran perlu dimulakan sejak usia awal sebagai asas pembentukan ilmu dan akhlak.
“Kita juga mesti mendekatkan anak kita dengan al-Quran supaya menjadi pedoman dan ilmu tersebut dapat memberikan kekuatan. Sehubungan itu, kerajaan telah memperkenalkan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) untuk dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun ini,” katanya.
Beliau berkata selain diperkukuh dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0, pendekatan itu juga memberi peluang kepada anak-anak daripada pelbagai latar belakang untuk mendapat pendidikan al-Quran tanpa membebankan kewangan ibu bapa.
Pra Tahfiz KEMAS Melaka sebelum ini bermula dengan hanya tiga kelas pada 2023.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada program Khatam Perdana Pra Tahfiz dan Libat Urus Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kemas di sini.