
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari
PUTRAJAYA, 11 November – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju menaikkan kadar Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi atlet berpasukan yang berjaya meraih pingat dalam temasya sukan teras tahun ini dan akan datang.
- Kadar ganjaran pingat emas dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM40,000 bagi setiap atlet.
- Perak dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM20,000; gangsa dinaikkan kepada RM10,000 seorang.
- Kenaikan meliputi temasya Asia dan Para Asia, memberi insentif pembangunan atlet pelapis dan kos tambahan RM1.152 juta termasuk insentif jurulatih.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kadar ganjaran bagi setiap atlet yang memenangi pingat emas dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM40,000.
Menurutnya, kenaikan kadar itu bertujuan meningkatkan motivasi atlet kebangsaan untuk terus berusaha dan menyumbang kejayaan kepada negara.
“Kadar baharu ini terpakai bagi tahun semasa. Oleh itu, semua atlet yang terlibat dalam temasya Sukan Asia dan Sukan Para Asia akan menerima tambahan tersebut,” katanya pada sidang media di Menara KBS, Putrajaya, pada Rabu.
Beliau berkata, kadar ganjaran bagi atlet berpasukan yang memenangi pingat perak turut dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM20,000 seorang, manakala pingat gangsa dinaikkan kepada RM10,000 seorang.
Katanya, kenaikan kadar itu bukan sahaja melibatkan skuad sepak takraw, malah turut merangkumi pemberian insentif tambahan kepada 66 atlet daripada 10 pasukan yang berjaya memperoleh pingat dalam temasya sukan tahun ini.
“Paling penting, inisiatif ini bukan hanya ditujukan kepada atlet sedia ada, malah turut memberi penekanan kepada pembangunan atlet pelapis, khususnya dalam kalangan atlet junior.
“Kita mahu mereka melihat ganjaran ini sebagai satu insentif yang lumayan dan mampu dicapai sekiranya berjaya meraih pingat, sama ada emas, perak mahupun gangsa,” jelasnya.
Kenaikan kadar SHAKAM itu membabitkan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM1.152 juta bagi tiga temasya sukan, iaitu Sukan Komanwel Glasgow, Sukan Asia Aichi-Nagoya dan Sukan Para Asia Aichi-Nagoya, selain insentif kepada jurulatih di bawah Skim Galakan Jurulatih (SGAR).
Terdahulu, pemain tekong skuad sepak takraw negara, Syahir Rosdi, meluahkan rasa terkilan terhadap kadar ganjaran SHAKAM yang disifatkan tidak setimpal bagi atlet berpasukan kebangsaan yang berjaya meraih pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya, selepas penantian selama 36 tahun.