Chelsea disekat Hacken, Man City benam Inter 4-1

Foto AFP

PARIS, 11 November – Chelsea gagal memanfaatkan peluang untuk meraih kemenangan apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Hacken dalam aksi Liga Juara-Juara Wanita UEFA di Sweden, pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Chelsea kekal di tangga ketiga selepas empat perlawanan, satu mata di belakang Barcelona.
  • Manchester City menang 4-1 ke atas Inter; Aoba Fujino dua gol, Casparij dan Clinton menambah pada babak kedua, naik ke tangga ketujuh.
  • Bayern Munich tewaskan PSG 2-1, gol sendiri penjaga gol PSG dan jaringan Klara Buehl meletakkan Bayern di tangga kedua.

Keputusan itu menyaksikan Chelsea kekal di tangga ketiga fasa liga selepas mengharungi empat perlawanan, satu mata di belakang juara bertahan Barcelona yang masih memiliki satu perlawanan dalam tangan.

Chelsea yang memburu kemenangan menyaksikan dua percubaan mereka terkena palang dan tiang gol, selain berdepan aksi cemerlang penjaga gol Hacken, Jennifer Falk.

Pengendali Chelsea, Sonia Bompastor menyifatkan keputusan itu mengecewakan dan mengakui pasukannya perlu mengambil pengajaran daripada kegagalan membawa pulang tiga mata.

Sementara itu, Manchester City mencatat kemenangan pertama dalam saingan fasa liga selepas menewaskan Inter Milan 4-1 di tempat lawan.

Dua jaringan Aoba Fujino pada separuh masa pertama membatalkan gol pembukaan Inter menerusi Elisa Bartoli.

Kerstin Casparij dan Grace Clinton kemudian menambah dua gol pada babak kedua untuk memastikan kemenangan City, sekali gus melonjakkan pasukan itu ke tangga ketujuh.

Dalam satu lagi aksi, Bayern Munich menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 2-1 di Parc des Princes untuk meraih kemenangan dan naik ke tangga kedua.

Gol sendiri penjaga gol PSG, Katarzyna Kiedrzynek dan jaringan Klara Buehl meletakkan Bayern di hadapan sebelum Paulina Dudek merapatkan jurang menerusi sepakan penalti pada separuh masa kedua.

Real Madrid pula mencatat kemenangan 3-0 ke atas Paris FC hasil tiga jaringan pada separuh masa kedua.

Arianna Caruso membuka jaringan pada minit ke-55 sebelum Lineth Beerensteyn dan Linda Caicedo melengkapkan kemenangan yang mengangkat Real Madrid ke tangga kelapan.

Roma turut mencatat kemenangan selepas menewaskan kelab Switzerland, Servette 2-1.

Sementara itu, juara lapan kali, Lyon dijadual berdepan Juventus dalam satu lagi aksi pada Rabu.-Afp

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.