
TEHRAN, 11 November – Tiga kapal tangki minyak dilaporkan terbakar di Selat Hormuz susulan insiden letupan dan serangan periuk api laut, menurut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).
- IRGC berkata dua kapal tangki yang guna laluan tidak dibenarkan dihentikan susulan letupan besar dan kini terbakar.
- Identiti serta negara asal kapal tidak didedahkan oleh pihak berkuasa.
- ADNOC sahkan kapal Emiriah rosak selepas serangan; UKMTO lapor kapal terkena objek tidak dikenali di luar pantai Oman.
Dalam kenyataan pada Selasa, IRGC mendakwa dua kapal tangki minyak yang menggunakan laluan tidak dibenarkan di Selat Hormuz terpaksa dihentikan selepas berlaku letupan besar sehingga menyebabkan kedua-duanya terbakar.
Pasukan itu kemudian memaklumkan sebuah lagi kapal tangki minyak turut meletup selepas terkena periuk api laut ketika melalui laluan yang didakwa tidak dibenarkan.
“Dua kapal tangki minyak yang melanggar peraturan dan menggunakan laluan tidak dibenarkan di Selat Hormuz telah dihentikan susulan letupan besar dan kini ia terbakar,” menurut kenyataan IRGC.
Bagaimanapun, identiti serta negara asal ketiga-tiga kapal berkenaan tidak didedahkan.
Dalam perkembangan berkaitan, syarikat minyak milik kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), ADNOC, mengesahkan salah sebuah kapalnya mengalami kerosakan selepas diserang di perairan wilayah negara itu di Teluk.
Agensi Keselamatan Maritim United Kingdom (UKMTO) turut melaporkan sebuah kapal tangki minyak terkena objek tidak dikenali di luar pantai Oman, berhampiran Selat Hormuz.
Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada kedua-dua insiden itu membabitkan kapal yang disebut dalam kenyataan Tehran.
Sejak tercetusnya perang di Asia Barat pada akhir Februari lalu, Iran memperketatkan sekatan terhadap pergerakan kapal di laluan strategik itu dengan mengarahkan semua kapal menggunakan laluan yang mendapat kebenaran republik berkenaan.
Sebagai tindak balas, Amerika Syarikat mengenakan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran selain membantu kapal tangki minyak melalui selat berkenaan.
Selat Hormuz merupakan laluan perdagangan tenaga utama dunia yang menyalurkan kira-kira satu perlima bekalan minyak global. – AFP