Didik anak agar tidak menjadi pembuli – DS Fadhlina


KUALA LUMPUR, 10 November – Ibu bapa bukan sahaja perlu bimbang anak menjadi mangsa buli, sebaliknya turut perlu memastikan anak tidak menjadi pelaku perbuatan itu, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek.

RINGKASAN BERITA AI
  • Galakkan ibu bapa memikirkan jika anak sendiri boleh menjadi pembuli.
  • Tegaskan tanggungjawab ibu bapa dan sekolah memastikan persekitaran pembelajaran selamat.
  • Manfaatkan pengaruh pempengaruh media sosial untuk menyampaikan mesej keibubapaan positif.
  • KPM terbuka bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu menyumbang mendidik dan melindungi anak-anak.

“Sebagai ibu bapa, kita tentu risau kalau anak pulang dari sekolah dalam keadaan menangis kerana dibuli. Kita mahu anak dilindungi dan dipastikan selamat.

Namun, pernahkah kita terfikir bagaimana kalau anak kita sendiri yang membuat anak orang lain menangis?,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Katanya, nilai hormat dan empati terhadap orang lain perlu dipupuk sejak kecil bagi membentuk keperibadian serta tingkah laku anak-anak.

Datuk Seri Fadhlina turut berkongsi ungkapan seorang pempengaruh media sosial, Madnor, yang ditemuinya dalam satu pertemuan petang tadi.

“Saya nampak ramai risau anak dibuli. Tapi tak ramai yang risau anak jadi pembuli,” katanya memetik ungkapan Madnor.

Menurut Datuk Seri Fadhlina, pertemuan itu turut membincangkan peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak, selain tanggungjawab sekolah memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat.

Beliau turut menghargai kesediaan Madnor untuk membantu Kementerian Pendidikan (KPM) menyampaikan mesej berkaitan keibubapaan kepada masyarakat.

Katanya, pengaruh yang dimiliki seseorang pempengaruh media sosial boleh dimanfaatkan sebagai kekuatan untuk menyebarkan mesej positif dan membawa kebaikan kepada masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menegaskan KPM sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu menyumbang kepada usaha mendidik dan melindungi anak-anak.

“Terima kasih Sdr Madnor atas kesediaan untuk bersama-sama KPM menjayakan usaha ini. Kita buat betul-betul ya. Janji!” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.