PBB beri amaran musim sejuk burukkan krisis kemanusiaan di Gaza

Penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal meredah lopak air/Foto AFP

RAMALLAH, 10 November – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pihak Berkuasa Palestin memberi amaran bahawa musim sejuk yang bakal tiba boleh memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih dua juta penduduk bergantung kepada tempat perlindungan dan bantuan kemanusiaan.
  • Ratusan ribu masih tinggal di khemah dan perlindungan sementara susulan pengeboman Israel.
  • Lebih 65,000 khemah dan pusat kecemasan berisiko banjir, kira-kira 4,000 bangunan berisiko runtuh.
  • PBB berkata krisis berpunca daripada tindakan manusia dan menggesa Israel tarik balik sekatan serta benarkan akses bantuan dan kawasan lebih selamat.

Pegawai kedua-dua pihak pada sidang media di bandar Ramallah, Tebing Barat pada Isnin berkata lebih dua juta penduduk bergantung kepada tempat perlindungan dan bantuan kemanusiaan.

Menteri Pembangunan Sosial Pihak Berkuasa Palestin Sameh Hamad berkata ratusan ribu rakyat Palestin masih tinggal di khemah dan tempat perlindungan sementara susulan pengeboman Israel.

Beliau berkata 84 peratus penduduk ditempatkan di pusat perlindungan kecemasan yang sesak, manakala lebih 65 peratus keluarga tinggal di khemah dan tempat perlindungan sementara.

Memetik angka PBB, Hamad berkata lebih 65,000 khemah dan tempat perlindungan kecemasan berisiko dilanda banjir atau sudah terjejas akibat bencana itu.

Beliau berkata ribuan keluarga turut mendiami kira-kira 4,000 bangunan yang berisiko runtuh tanpa mempunyai pilihan tempat perlindungan lain yang lebih selamat.

Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB Ramiz Alakbarov berkata krisis berkenaan berpunca daripada tindakan manusia, sambil menegaskan bahawa sekatan Israel terhadap kemasukan barangan telah menjejaskan persiapan menghadapi musim sejuk.

Alakbarov menggesa Israel segera menarik balik sekatan terhadap kemasukan bantuan dan peralatan yang amat diperlukan.

Beliau berkata penduduk juga perlu dibenarkan memasuki lebih banyak kawasan di Gaza yang mempunyai tempat perlindungan lebih selamat. – BERNAMA-dpa

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.