Lima maut, cerun berbatu runtuh di Gaza

Foto VIORY

GAZA, 10 November – Lima rakyat Palestin, termasuk seorang wanita dan tiga kanak-kanak, maut manakala beberapa lagi cedera pada Ahad selepas cerun berbatu runtuh menimpa khemah yang menempatkan penduduk kehilangan tempat tinggal di sebuah kem di Deir al-Balah, tengah Gaza.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hujan lebat mencetus cerun berbatu runtuh.
  • Naama Eid terima panggilan; Rawan menjerit minta pertolongan, berkata semua sudah meninggal dunia.
  • Rakaman tunjuk mayat, keluarga meratap, solat jenazah, runtuhan khemah; Amina Eid kata pengeboman sebelumnya turut menyebabkan struktur runtuh.

Kejadian itu berlaku susulan hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan.

Seorang saudara kepada mangsa, Naama Eid, menceritakan bagaimana beliau mula mendapat tahu mengenai tragedi itu.

“Mereka memaklumkan berlaku tanah runtuh berhampiran kawasan Hawwouz (takungan air). Apabila mendengarnya, saya berkata, ‘Tidak mungkin berlaku tanah runtuh berhampiran takungan air itu, tetapi khemah anak perempuan saya berada di sana.’

“Kami menghubungi mereka melalui telefon dan Rawan, cucu perempuan saya, menjawab sambil menjerit, ‘Datang bantu kami! Mereka semua sudah meninggal dunia’,” katanya.

Rakaman video yang dirakam pada Isnin menunjukkan mayat mangsa terbaring di atas tanah, manakala ahli keluarga menangisi pemergian mereka.

Rakaman itu turut memaparkan seorang bapa memeluk jasad anak perempuannya yang masih kecil, ahli keluarga mengusung mayat kanak-kanak serta penduduk menunaikan solat jenazah.

Selain itu, rakaman berkenaan menunjukkan runtuhan batu dan khemah yang rosak akibat kejadian tersebut.

Amina Eid berkata, tragedi itu membuktikan bahawa kematian bukan sahaja berpunca daripada bom dan peluru berpandu.

“Apa yang berlaku adalah kesan daripada pengeboman dahsyat di Gaza yang menyebabkan bangunan dan struktur bertingkat runtuh menimpa penduduk,” katanya.- VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.