Pantai Al Luluia ditutup susulan kesan tumpahan minyak

Imej satelit yang dirakam oleh Sentinel-2 pada 8 November 2026, tiga kapal tangki minyak dilaporkan terbakar di kawasan itu / Foto AFP

DUBAI, 10 November – Sebuah pantai di pesisir timur Emiriah Arab Bersatu (UAE) ditutup selepas kesan tumpahan minyak dikesan di kawasan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pantai Al Luluia ditutup sementara selepas tompokan minyak dikesan di kawasan pantai.
  • Imej radar Sentinel-1 pada 6 November mengesan tumpahan minyak berskala besar sepanjang kira-kira 160 kilometer di luar pesisir timur UAE.
  • Tumpahan dikaitkan dengan kapal tangki minyak mentah VIEIRA yang dilaporkan terkena peluru berpandu dan masih mengalami kebocoran.
  • Beberapa pantai di Umm Al Quwain, Sharjah dan Ras Al Khaimah turut ditutup susulan insiden tumpahan.

Menurut pihak berkuasa perbandaran, Khor Fakkan, penutupan itu dilakukan ketika beberapa kapal tangki dilaporkan berulang kali menjadi sasaran serangan di Selat Hormuz yang terletak berhampiran kawasan berkenaan.

“Pantai Al Luluia ditutup sementara selepas tompokan minyak dikesan di kawasan pantai,” katanya.

Dalam pada itu, menurut firma keselamatan maritim Vanguard Tech, minggu lalu, satu letupan dilaporkan berlaku di atas kapal tangki minyak mentah VIEIRA ketika kapal itu melalui Selat Hormuz, di luar pesisir Oman.

Penyiasat sumber terbuka alam sekitar daripada pertubuhan keamanan Belanda, PAX, Wim Zwijnenburg, memberitahu, tumpahan minyak berskala besar dikesan menerusi imej radar satelit Sentinel-1 pada 6 November, sehari selepas kapal tangki minyak mentah VIEIRA dilaporkan terkena peluru berpandu.

Beliau berkata, imej satelit pada Ahad menunjukkan tumpahan minyak di luar pesisir timur UAE sepanjang kira-kira 160 kilometer, dengan tompokan minyak gelap yang jelas menunjukkan kehadiran minyak mentah.

“Tumpahan ini dikaitkan dengan kapal VIEIRA apabila imej menunjukkan kapal tangki minyak mentah itu berada kira-kira 65 kilometer dari pesisir Fujairah dan masih mengalami kebocoran minyak,” katanya.

Beberapa kejadian tumpahan minyak turut dikesan di perairan negara Teluk, ketika Iran melancarkan serangan terhadap kapal tangki sebagai sebahagian daripada usaha menyekat Selat Hormuz.

Bulan lalu, UAE melaporkan kejadian tumpahan minyak daripada sebuah kapal tangki di luar pesisir barat negara itu, berhampiran kawasan emiriah utara. Pihak berkuasa kemudian memaklumkan kapal berkenaan tidak lagi mengalami kebocoran.

Susulan kejadian itu, beberapa pantai di emiriah Umm Al Quwain, Sharjah dan Ras Al Khaimah turut ditutup.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.