
DHAKA, 4 November – Pegawai dan anggota Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) telah dikerah bagi membantu pihak polis mengawal keadaan protes pekerja sektor pembuatan pakaian yang masuk hari keempat, walaupun mereka digesa kembali bekerja di kilang masing-masing.
- Penggunaan dron di Gazipur dan Narayanganj memudahkan pemantauan pihak berkuasa.
- Penunjuk perasaan masih memenuhi jalan raya walaupun kerajaan tubuhkan jawatankuasa kaji semula gaji minimum.
- Polis memfailkan kes terhadap ribuan penunjuk perasaan atas pembakaran kenderaan dan kerosakan; 58 anggota polis cedera.
- Industri pakaian sumbang kira-kira empat perlima eksport; pekerja tuntut gaji minimum 30,000 taka susulan kos sara hidup tinggi.
Penggunaan dron turut digunakan di Gazipur dan Narayanganj bertujuan memudahkan pemantauan pihak berkuasa.
Kumpulan penunjuk perasaan dilaporkan masih memenuhi jalan raya, walaupun kerajaan telah mengumumkan penubuhan jawatankuasa bagi mengkaji semula kadar gaji minimum dalam sektor pembuatan pakaian.
Dalam pada itu, jurucakap polis, Kamarum Munira berkata, pihak polis telah memfailkan kes terhadap ribuan penunjuk perasaan yang tidak dikenal pasti kerana membakar kenderaan polis dan merosakkan harta benda.
“Seramai 58 anggota polis dilaporkan cedera sejak protes bermula,”katanya.
Sementara itu, pekerja pula mendakwa puluhan penunjuk perasaan turut mengalami kecederaan.
Industri pakaian menyumbang kira-kira empat perlima daripada keseluruhan pendapatan eksport Bangladesh, dengan nilai mencecah AS$38 bilion, selain menyediakan pekerjaan kepada lebih empat juta individu.
Pekerja menyifatkan peningkatan kos makanan, perumahan, pengangkutan dan penjagaan kesihatan telah menjejaskan kuasa beli mereka di negara yang mencatatkan kadar inflasi sebanyak lapan peratus.
Mereka menuntut gaji minimum bulanan sebanyak 30,000 taka (AS$245), iaitu peningkatan sebanyak 140 peratus berbanding kadar semasa sebanyak 12,500 taka. – AFP